Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 pegawai CNB didapati subahat tukar sampel air kencing lelaki disyaki pesalah dadah

Anggaran Waktu Membaca:
 2 pegawai CNB didapati subahat tukar sampel air kencing lelaki disyaki pesalah dadah

Abdul Rahman Kadir dan Muhammad Zuhairi Zainuri. (Gambar fail: Gaya Chandramohan, Rauf Khan)

Diterbitkan : 15 Sep 2022 01:08PM Dikemas Kini : 15 Sep 2022 01:12PM
SINGAPURA: Dua pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB), yang dituduh berkomplot untuk menukar sampel air kencing seorang lelaki yang sedang menjalani ujian dadah, didapati bersalah oleh Mahkamah Negara hari ini (15 Sep).

Staf Sarjan Abdul Rahman Kadir, 46 tahun dan Sarjan Muhammad Zuhairi Zainuri, 34 tahun masing-masing disabit kesalahan atas satu tuduhan sengaja menghalang proses keadilan dengan bersekongkol untuk menukarkan sampel air kencing Maung Moe Min Oo antara 15 Ogos dengan 16 Ogos 2018.

Seorang lagi pegawai CNB, Staf Sarjan Mohamed Hafiz Lan, yang juga terlibat dalam perbuatan bersubahat itu mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara setahun setengah pada 3 Ogos 2020. Kes Maung Moe Min Oo masih lagi di peringkat persidangan sebelum perbicaraan (PTC).

Rahman dan Zuhairi meminta dibicarakan bagi tuduhan mereka namun disabit kesalahan hari ini oleh Hakim Daerah Victor Yeo, yang mendapati pihak pendakwa sudah membuktikan kes menjangkaui keraguan munasabah terhadap kedua-duanya.

Hakim tidak mendapati Rahman sebagai saksi yang boleh dipercayai dan tidak mempercayai buktinya bahawa dia tidak memberi tumpuan kepada Maung Moe Min Oo semasa ujian air kencing dijalankan, dan sebaliknya sedang sibuk dengan telefon bimbitnya.

Bagi Zuhairi, yang memutuskan untuk berdiam diri daripada membela dirinya sendiri, Hakim bersetuju dengan hujah pihak pendakwa bahawa kesimpulan bertentangan boleh diambil daripada "kegagalannya untuk mengemukakan penjelasan atas tindakannya pada waktu kejadian" meskipun "terdapat bukti kukuh yang dikemukakan semasa perbicaraan".

Semasa menggulung penghujahannya, Timbalan Pendakwa Raya Alan Loh dan Thiagesh Sukumaran memberikan butiran insiden, daripada tempoh Maung Moe Min Oo ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands bersama seorang wanita kerana disyaki mengambil dadah pada 15 Ogos 2018.

Maung Moe Min Oo tahu bahawa dia akan gagal dalam ujian air kencing tersebut kerana dia mengambil dadah methamphetamine sebelum ditahan.

Sebagai bekas pesalah dadah, dia tahu bahawa dia akan dihantar ke pusat pemulihan dadah (DRC) sekali lagi dan berasa bimbang ditinggalkan isterinya bersama dua anaknya, menurut pihak pendakwa.

Sebagai percubaan untuk mengganggu proses ujian air kencing, Maung Moe Min Oo meminta bantuan Rahman, memandangkan Rahman mengetuai pasukan yang mengendalikan kesnya. Dia berbohong kepada Rahman bahawa dia tidak secara langsung terhidu asap semasa berada di dalam bilik bersama seseorang yang menghidu methamphetamine.

"Rentetan insiden yang berlaku selepas itu sangat jelas. (Rahman) bersekongkol dengan (Zuhairi) dan (Hafiz) untuk menukar sampel air kencing Maung, membolehkan Maung menyerahkan Ujian Air Kencing (IUT) dan meninggalkan pejabat CNB tanpa sebarang tindakan lanjut terhadapnya," kata pendakwa raya.

"Maung mengaku mengambil methamphetamine. Sekiranya Maung ditangani dengan betul oleh pasukan CNB yang bertugas, Maung akan dihantar sama ada ke DRC jika sampel air kencingnya didapati positif bagi methamphetamine, atau didakwa kerana gagal menyerahkan sampel air kencing...jika dia enggan menyerahkan sampel tersebut kepada pasukan (CNB) bagi IUT.

"Perbuatan subahat itu membolehkan Maung terlepas daripada kedua-dua tindakan tersebut."
Ujian air kencing Maung Moe Min Oo negatif daripada dadah dan dia dibenarkan meninggalkan pejabat CNB bersama wanita yang mengiringinya. Dia kemudian pergi ke Malaysia.

Kes itu bagaimanapun terbongkar apabila Maung Moe Min Oo kembali ke Singapura pada 17 Ogos 2018 dan sekali lagi ditahan kerana disyaki mengambil dadah. Dia memberitahu pasukan CNB bahawa Rahman membantunya lulus ujian air kencing sebelum itu.

PERINCIAN KES SEBELUM SAMPEL AIR KENCING DITUKAR

Apabila menilai Maung Moe Min Oo sebagai "subjek yang sukar", Zuhairi menyarankan kepada Hafiz agar mereka menukar sampel air kencing untuk mempercepat pelepasannya daripada pejabat CNB, menurut pihak pendakwa.

Zuhairi menganggap Maung Moe Min Oo sebagai "licik" dan "tidak bekerjasama" dan berasa bahawa para pegawai lain hanya akan membuang masa menyiapkan kertas kerja "yang tidak perlu", tambah pihak pendakwa.

Zuhairi membincangkan perkara itu dengan Hafiz dan memutuskan bahawa satu-satunya cara untuk melepaskan Maung Moe Min Oo adalah jika ujian air kencingnya negatif dadah. Satu rakaman kamera liter tertutup (CCTV) menunjukkan pertukaran sampel air kencing tersebut pada wal pagi 16 Ogos 2018.

Zuhairi dirakan membawa satu botol bertutup merah ke dalam tandas.

Menurut pihak pendakwa, Hafiz membuang air kecil ke dalam botol tersebut dan meninggalkan tanda. Dia kemudian mengarahkan Maung Moe Min Oo supaya membuang air kecil ke dalam satu botol yang serupa namun membuang isinya di hadapan Rahman.

Menurut pihak pendakwa bukti yang menyokong kes itu "kukuh dan meyakinkan". Ini termasuk bagaimana Zuhairi dan Hafiz "mengaku bersubahat untuk menukar sample air kencing Maung Moe Min Oo untuk mempercepat pelepasannya daripada pejabat CNB" dalam keterangan mereka.

Hafiz juga mengaku membuang air kecil ke dalam satu botol dan meninggalkannya di dalam tandas bagi tujuan menukarkan sampel.

Untuk membela dirinya, Rahman mendakwa dia tidak menyedari bahawa sampel air kencing itu sudah ditukar. Peguam belanya, Peter Fernando, mendakwa anak guamnya tidak terlibat dalam perbuatan subahat tersebut, yang dijalankan antara Hafiz dengan Zuhairi.

Zuhairi memberi isyarat bahawa dia mahu mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut. Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Loh memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa akan menolak ikat jamin sedang ia menunggu rayuan tersebut memandangkan Zuhairi "tiada prospek" untuk berjaya dalam rayuannya.

Kedua-duanya akan kembali dihadapkan ke mahkamah bagi mendengar hukuman mereka pada 16 November.

Atas kesalahan sengaja menghalang proses keadilan, setiap seorang tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan