Skip to main content

Singapura

2 pegawai AETOS yang ditangkap di bawah ISA, malukan dan kecewakan S'pura, masyarakat Melayu/Islam

"Saya kutuk niat buruk Khairul dan perbuatan tidak bertanggungjawab Rizal," menurut Encik Amrin yang mengulas demikian menerusi laman Facebook beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
2 pegawai AETOS yang ditangkap di bawah ISA, malukan dan kecewakan S'pura, masyarakat Melayu/Islam

Gambar fail gari polis (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Jun 2017 05:59PM Dikemas Kini : 20 Jun 2017 06:02PM

SINGAPURA: Dua pegawai polis tambahan AETOS, Muhammad Khairul Mohamed dan Mohamad Rizal Wahid, yang dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bukan sahaja memalukan khidmat keselamatan beruniform, malah "mereka juga sudah mengecewakan Singapura dan masyarakat Melayu/Islam".

Demikian komen Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri, Amrin Amin, berhubung penangkapan tersebut.

"Saya kutuk niat buruk Khairul dan perbuatan tidak bertanggungjawab Rizal," menurut Encik Amrin yang mengulas demikian menerusi laman Facebook beliau.

Encik Amrin berkata beliau sedih dan bimbang dengan tangkapan itu.

"Saya bimbang bahawa tingkah laku Khairul dan Rizal mungkin menjejas banyak pegawai (polis) muslim yang lain yang cintakan negara ini, dan berkhidmat dan terus berkhidmat untuk Singapura dengan taat dan berani.

"Para pegawai kami meletakkan diri mereka dalam bahaya demi keselamatan rakyat Singapura lainnya. Sebahagian mereka malah sudah berkorban nyawa semasa bertugas," ulas Encik Amrin.

BIMBANG IMPLIKASI DARIPADA TANGKAPAN 2 PEGAWAI AETOS

Encik Amrin menarik perhatian bahawa rakyat percaya kepada para pegawai beruniform, dengan generasi demi generasi pegawai sudah berkhidmat kepada Singapura dan rakyat Singapura dengan cemerlang.

Pegawai muslim ataupun bukan muslim berkhidmat saling bahu membahu dengan penuh kepercayaan dan keyakinan, serta tiada perbezaan dibuat berdasarkan bangsa atau agama. Lantaran itu, beliau bimbang akan implikasi daripada tangkapan kedua-dua pegawai AETOS itu.

Khairul, berusia 24 tahun adalah Pegawai Polis Tambahan AETOS, dan ditugaskan sebagai Pegawai Penguatkuasa Trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Dia ditangkap pada bulan lalu (Mei 2017) kerana mahu menyertai keganasan bersenjata di Syria dan mahu memerangi puak Syiah di negara itu dengan menyertai Free Syrian Army (FSA). Khairul dikenakan Perintah Tahanan (DO) pada bulan ini di bawah ISA. Dia sebenarnya mula menjadi radikal sejak tahun 2012.

Rizal Wahid pula - juga seorang Pegawai Polis Tambahan AETOS - sedar dan menyokong hasrat Khairul untuk mengangkat senjata di Syria. Dia bukan sahaja gagal melaporkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan AETOS, malah "memberi saranan kepada Khairul pelbagai cara untuk masuk ke Syria dan mati di sana sebagai 'syahid'".

PERBUATAN BERPOTENSI ROSAKKAN SINGAPURA, PERLU DICANTAS

Mengulas perkembangan ini, Encik Amrin menekankan bahawa perbuatan Khairul dan Rizal yang berpotensi merosakkan Singapura perlu dicantas. Singapura tambah beliau, sebuah negara hebat kerana kuatnya rasa saling percaya akan satu sama lain tidak kira bangsa, bahasa atau agama.

"Kita perlu hidup bersama-sama. Kutuk dan perangi pengganasan dan Islamofobia, laporkan radikalisasi, perkukuh ikatan kita. Tugas ini sangat genting," menurut Encik Amrin lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita