2 pegawai AETOS dihukum penjara; rakam video dengan pistol di Pusat Pemeriksaan Woodlands
Seorang pengawai firma keselamatan AETOS telah meminta rakan sekerjanya supaya merakam video ketika dia berada di Pusat Pemeriksaan Woodlands dengan mengacukan pistol yang diisi peluru ke arah lelaki itu.

Muhammad Noorarman Shah Anwar (kiri) dan Muhammad Amali Abdul Halim di Mahkamah Negara pada 5 Februari 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Kedua-dua pegawai AETOS itu yang berusia 23 tahun, dihukum penjara pada Rabu (5 Feb) kerana mengambil gambar di pusat pemeriksaan, iaitu kawasan larangan, tanpa izin.
Muhammad Noorarman Shah Anwar yang mengesyorkan dan diambil gambarnya, dihukum penjara empat minggu.
Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan mengambil gambar di kawasan larangan.
Satu lagi tuduhan kerana mengancam keselamatan rakan sekerjanya dengan mengacukan senjata api ke arahnya diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.
Muhammad Amali Abdul Halim, yang mengambil gambar itu, dihukum penjara seminggu selepas mengaku bersalah terhadap satu tuduhan.
Pada 28 September 2024, Noorarman dan Amali sedang bekerja di Pusat Pemeriksaan Woodlands, di mana mereka ditugaskan untuk memeriksa kereta dan motosikal.
Mahkamah diberitahu bahawa Noorarman membawa pistol revolver bersamanya ketika bertugas.
Pada kira-kira pukul 4.30 petang, Noorarman meminta Amali supaya mengambil gambarnya sedang memakai topeng ski kerana mahu kelihatan 'cool', kata Timbalan Pendakwa Raya June Ngian.
Nooarman kemudian memakai topeng ski yang telah dia sediakan lalu Amali mengambil beberapa gambarnya di sebuah pondok pemeriksaan imigresen di situ.
Bahagian dalam bilik itu dirakam dalam latar belakang setiap gambar berkenaan.
Noorarman kemudian menyuruh Amali merakam video dirinya dengan Amali berpura-pura sebagai seorang pelancong dan menghampiri pondok tersebut dari luar.
Apabila Amali merakam video itu, Noorarman mengacukan pistol yang diisi peluru pada rakan sekerjanya melalui kaca pondok permeriksaan imigresen tersebut.
Kedua-dua pegawai berkenaan melakukan perbuatan itu untuk menghiburkan diri mereka dan tidak mempunyai izin untuk mengambil gambar di pusat pemeriksaan, kata Cik Ngian.
Noorarman kemudian memuat naik kolaj gambar dan video tersebut di Instagram Stories. Dia berbuat demikian meskipun diberitahu Amali untuk tidak melakukannya, kata pihak pendakwa.
Noorarman akhirnya memadamkan catatan itu selepas dinasihati oleh temannya.
Namun, pegawai AETOS yang bertanggungjawab terhadap Noorarman dan Amali membuat aduan polis dua hari selepas kejadian itu berlaku.
Di bawah Akta Perlindungan Prasarana, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.