Skip to main content

Singapura

2 panel penasihat ditubuh bagi dana Wakaf Masyarakat S'pura

Kedua-dua panel itu akan diterajui oleh Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Abu Bakar Mohd Nor.

Anggaran Waktu Membaca:
2 panel penasihat ditubuh bagi dana Wakaf Masyarakat S'pura

Masjid Omar Kampong Melaka merupakan masjid pertama yang dibina di Singapura pada 1820. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

SINGAPURA: Dua panel penasihat bagi dana Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) ditubuh untuk mengusulkan tentang pelaksanaannya serta bagaimana untuk mendapatkan sokongan masyarakat.

Dua panel itu ialah Panel Penasihat Pakar WMS yang terdiri daripada lapan karyawan dalam bidang agama, undang-undang, pelaburan, kewangan, audit dan hartanah.

Panel Penasihat Masyarakat WMS pula mempunyai tujuh anggota terdiri daripada pemimpin masyarakat.

Kedua-dua panel itu akan diterajui oleh Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Abu Bakar Mohd Nor.

Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (19 Jun) menyusuli pengumuman tentang penubuhan WMS oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkiflli dalam Majlis Perjumpaan Hari Raya pada 5 Jun lalu.

Seperti amalan-amalan wakaf sebelum ini, WMS adalah kaedah pendanaan secara sukarela bagi melengkapi dana-dana masyarakat yang sedia ada seperti Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) serta zakat.

WMS tidak diwajibkan ke atas semua anggota masyarakat. Mereka yang mempunyai kemampuan lebih besar dari segi kewangan boleh memilih untuk mewariskan aset dan dana mereka kepada WMS.

Sekarang ini, terdapat 91 wakaf dengan nilai keseluruhan melebihi S$800 juta di bawah kendalian MUIS.

Setiap tahun, MUIS akan mengagihkan dana wakaf tersebut kepada penerima tempatan termasuk madrasah, masjid, pertubuhan-pertubuhan kebajikan Islam serta golongan miskin dan memerlukan.

Dalam tempoh tiga tahun lalu, MUIS sudah mengagihkan lebih S$2.5 juta kepada para penerima bantuan tempatan, setiap tahun.

3 TERAS WAKAF MASYARAKAT S'PURA

Menurut MUIS, adalah penting untuk meneliti potensi jangka panjang aset-aset wakaf kita dan terus meningkatkan nilainya.

Teras WMS ada tiga. Pertama ialah untuk memelihara modalnya, kedua ialah memastikan sumber pendapatan yang diraih daripadanya berterusan dan berdaya mampan manakala teras ketiga ialah memudahkan masyarakat untuk menyumbang kepada dana tersebut.

Lantaran itu, kedua-dua panel penasihat yang ditubuhkan akan memberi tumpuan kepada aspek-aspek kritikal penubuhan, penilaian dan pelaburan untuk memudahkan dana wakaf itu berkembang. Ini termasuk kemungkinan untuk mempertingkat sistem, struktur dan peraturannya.

Anggota panel juga akan menumpukan perhatian kepada usaha-usaha mendampingi masyarakat untuk memahami perspektif penting daripada orang ramai.

Ia kemudian akan menyarankan strategi menyeluruh untuk mendapatkan maklum balas dan menjelaskan objektif serta kesan jangka panjang WMS kepada masyarakat Islam Singapura. Ini untuk menggalak masyarakat supaya menyumbang kepada dana itu secara sukarela.

Untuk memastikan saranan-saranan dan perancangan yang dibuat adalah holistik dan berkesan, kedua-dua panel akan mendampingi pihak-pihak berkepentingan seperti para asatizah, masyarakat perniagaan, karyawan dan juga sektor masjid serta madrasah.

"Saya yakin jika kita semua mengambil tangungjawab bersama ke atas WMS, menerusi kerjasama panel penasihat serta pandangan masyarakat, kita boleh membawa budaya wakaf Singapura ke tahap selanjutnya bagi manfaat masyarakat dan generasi akan datang," menurut Encik Abu Bakar.

WMS DITERAJUI ABU BAKAR MOHD NOR

Encik Abu Bakar ialah Pengerusi syarikat InfoFabrica Holdings Pte Ltd.

Timbalan Presiden DPPMS itu juga merupakan Pengerusi Pusat Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Beliau turut menganggotai beberapa lembaga termasuk di MUIS, di mana beliau mempengerusikan Jawatankuasa Pelaburan; Perbadanan SMRT, Lembaga Pengamanah Institut Teknologi Singapura (SIT) dan juga di Agensi Air Kebangsaan, PUB.

Di peringkat masyarakat, Encik Abu Bakar adalah Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat Tampines Central dan M³@Tampines.

Beliau juga merupakan Ketua Kakitangan Angkatan Pertahanan Rakyat (2 PDF) dan Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja di Tempat Tinggi.

BARISAN PANEL PENASIHAT PAKAR

Barisan panel penasihat pakar adalah seperti berikut:

1. Abdul Razak Maricar Pengerusi, Warees Investments Pte Ltd

2. Ustaz Murat Aris
Timbalan Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura

3. Bahren Shaari
CEO, Bank Singapura

4. Ismail Abdul Gafoor
CEO, PropNex

5. Yusuf Wahid
Anggota Lembaga AEP Investment Management Pte Ltd

6. Kohe Hassan
Rakan kongsi, Reed Smith LLP

7. Ustaz Mohd Kamal Mokhtar
Anggota, Jawatankuasa Syariah, Maybank Islamic Berhad

8. Mohamad Saiful Saroni Rakan kongsi, PWC LLP

BARISAN PANEL PENASIHAT MASYARAKAT

Barisan panel penasihat masyarakat ialah:

1. Ustaz Pasuni Maulan
Pengerusi, Masjid Tentera Di-Raja yang juga
Naib Pengerusi, Lembaga Pengiktirafan Asatizah

2. Muhammad Imran Kuna
Presiden, Darul Arqam

3. Allaudin Mohamed
Pengerusi, Masjid Khalid

4. Mohd Saat Abdul Rahman
Editor, Berita Harian/Berita Minggu

5. Dr Bibi Jan Mohd Ayyub
Aktivis sosial dan penerima Anugerah Rakan Buruh NTUC

6. Khairiana Zainal Abidin
Mudirah, Madrasah Aljunied Al-Islamiah

7. Fazlur Rahman Kamsani
Ahli Lembaga Institut Timur Tengah, NUS dan Karyawan Bidang Perbankan & Hartanah 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita