Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 orang dihukum penjara, sebat selepas serang lelaki di tanah perkuburan berhubung isu rogol

Andre Chen Si'en dan Gervan Wong Jun Heng menyerang mangsa dengan pelbagai senjata di tanah perkuburan Choa Chu Kang pada pukul 3.00 pagi berkaitan isu rogol isteri Chen.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua rakan pada Khamis (25 Ogos) dijatuhi hukuman penjara dan sebatan rotan kerana menyerang seorang lelaki di tanah perkuburan Choa Chu Kang berhubung isu merogol.

Andre Chen Si'en, 31 tahun, dan Gervan Wong Jun Heng, 26 tahun, menyerang mangsa dengan pelbagai senjata di tanah perkuburan yang terpencil itu pada awal pagi.

Mereka kemudian memaksa mangsa merangkak ke kereta mereka sebelum menurunkannya berhampiran rumahnya, di mana dia meninggalkan kesan darah sepanjang laluan ke apartmennya.

Kedua-dua lelaki mengaku bersalah atas satu tuduhan setiap seorang kerana menyebabkan kecederaan teruk menggunakan senjata berbahaya.

Tambahan itu, Chen mengaku sengaja menyebabkan kecederaan teruk dalam satu lagi insiden dan mengambil dadah methamphetamine. Tujuh lagi tuduhan dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan ke atasnya.

Dia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sembilan sebatan rotan.

Wong mengaku bersalah atas 13 lagi tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan, mengambil dadah dan kesalahan memandu. Lagi 20 tuduhan dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan ke atasnya.

Dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, tiga bulan dan 16 minggu serta enam sebatan rotan. Dia juga didenda S$2,400 dan diharamkan memandu selama dua tahun.

Wong juga diarahkan membayar ganti rugi kepada mangsa sebanyak lebih S$1,000 bagi kos perubatan. Chen sebelum ini membuat bayaran ganti rugi secara sukarela.

ISU MEROGOL

Mahkamah mendengar mangsa berusia 29 tahun dan Chen saling berkawan yang sudah mengenali satu sama lain selama beberapa tahun.

Pada awal pagi pada 9 Mei 2020, Chen menerima kirim mesej daripada isterinya dan rakannya yang menyatakan mangsa merogol isterinya malam sebelum itu.

Chen berada di rumah Wong apabila dia mendapat mesej tersebut dan memberitahunya mengenai dakwaan itu. Wong bersetuju untuk menemani Chen bagi menyelesaikan isu itu dengan mangsa.

Lewat malam itu, Chen menghubungi mangsa untuk mengajaknya minum. Mangsa bersetuju dan Chen menawarkan untuk mengambil mangsa dari rumahnya.

Sebelum bergerak, Chen meminta Wong membawa senjata. Chen melengkapkan dirinya dengan penumbuk besi dan pisau lipat, manakala Wong memilih membawa belantan besi.

Dalam perjalanan ke rumah mangsa, kedua-dua lelaki itu berbincang untuk membawa mangsa ke tempat terpencil, di mana mereka akan menyerangnya jika dia mengaku merogol isteri Chen.

SERANGAN DI TANAH PERKUBURAN

Sekitar pukul 3.00 pagi pada 10 Mei 2020, Chen dan Wong membawa mangsa ke tanah perkuburan, di mana Chen bertanya mangsa tentang dakwaan merogol itu.

Chen berasa marah oleh apa yang disifatkannya sebagai "jawapan separuh hati" daripada mangsa, dedah dokumen mahkamah.

Dia memukul bahagian belakang mangsa dengan penumbuk besi, yang mempunyai dua bahagian tajam. Salah satu bahagian tajam mengoyakkan isi kulit kepala mangsa.

Mangsa cuba melarikan diri tetapi Chen dapat mengejarnya. Dia terus memukul kepala dan tubuh mangsa, dan menikam kakinya dengan pisau.

Wong pula memukulnya dengan belantan dan kedua-dua rakan itu saling menyerang mangsa. Chen juga mengambil telefon bimbit mangsa dan menghempasnya ke arah batu nisan.

Wong mengambil air dari dalam kereta dan merenjis ke muka mangsa. Chen kemudian mengarahnya untuk merangkak kembali ke kereta dan mereka memandu ke rumah mangsa.

Sekitar pukul 5.30 pagi, Chen dan Wong meninggalkan mangsa berhampiran blok apartmennya. Ibu mangsa menjumpainya di depan pintu rumah mereka dan menghubungi khidmat kecemasan.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, keretakan pada lengannya dan kaki, luka tikaman dan lebam-lebam. Dia dimasukkan ke hospital selama dua hari.

Dia juga mengalami gangguan tekanan trauma selepas kejadian itu dan mendapatkan rawatan di Institut Kesihatan Mental (IMH). Kos perubatannya berjumlah lebih S$2,000.

Chen dan Wong ditangkap pada 10 Mei 2020 dan kedua-duanya disahkan positif dadah. Chen mengaku mengambil methamphetamine manakala Wong mengaku mengambil ketamin sehari sebelum itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan