Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 NMP baharu mahu ketengahkan isu kesihatan mental dan belia

Pakar psikiatrik, Dr Syed Harun dan pensyarah SUSS, Profesor Madya Razwan mahu jadi suara masyarakat lebih-lebih lagi dalam bidang berkaitan pendidikan, kesihatan mental, wanita dan belia

Anggaran Waktu Membaca:
2 NMP baharu mahu ketengahkan isu kesihatan mental dan belia

Dua NMP Muslim baharu mahu bangkitkan isu berkaitan kesihatan mental, pendidikan dan mobiliti sosial. (Gambar: Izwan Ohtman)

SINGAPURA: Pengalaman berkhidmat sebagai Pegawai Probesen dan berurusan dengan pihak mahkamah selama 18 tahun memberi kelebihan kepada Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim apabila menggalas tanggungjawab terbaharunya sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP).

Ini kerana pelbagai fakta dan bukti perlu diberikannya apabila berhujah untuk mendapatkan kelulusan probesen bagi kliennya di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

"Probesen adalah satu peluang untuk mereka tukar. Jadi bila kita ke mahkamah, kita ada hakim, kita ada pendakwa, kita juga ada peguam bela. Jadi bila kita persembahkan kita punya laporan, kita perlu amat teliti dengan siasatan kami," kata Profesor Madya Razwana.

"Ia kemahiran menyiasat sesuatu. Jadi saya rasa perkara-perkara ini semua boleh membantu saya untuk mencapai matlamat dan sangat profesional dalam saya punya perbincangan di parlimen," tambahnya.

Profesor Madya Razwana juga berkhidmat sebagai Naib Presiden Kedua PPIS. (Gambar: Izwan Ohtman)
Prof Madya Razwana juga berkhidmat sebagai Naib Presiden Kedua PPIS. (Gambar: Izwan Ohtman) 

Selain isu-isu sosial, Profesor Madya Razwana juga akan menggunakan pengalamannya sebagai Naib Presiden Kedua Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) untuk mengetengahkan perkara-perkara berkaitan wanita.

Beliau ingin menyumbang kepada perbincangan parlimen tentang bagaimana motivasi dan aspirasi golongan itu dapat dicapai.

"Mendukung wanita dan macam mana kita boleh bantu wanita untuk mencapai inspirasi mereka dan juga motivasi mereka secara efektif. Macam mana kita boleh tolong mereka seimbangkan kerjaya dan keluarga mereka," kongsi Profesor Madya Razwana kepada BERITA Mediacorp.

KESAKSAMAAN DALAM PENDIDIKAN & ISU BELIA

Selepas berkhidmat dengan MSF, Profesor Madya Razwana kini bertugas sebagai Ketua Program Keselamatan dan Keselamatan Awam di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Pengalaman berinteraksi dengan golongan mahasiswa dan penuntut pertengahan kerjaya, juga membuat beliau lebih prihatin tentang peluang pendidikan di negara ini.

Meskipun peluang tersedia bagi semua, latar belakang dan keadaan hidup seseorang itu berbeza dan boleh menjejas kemungkinannya untuk sambung pengajian.

Beliau sendiri melakukan pengajian posmenengah di rumah dan mengikuti kelas-kelas secara online sehingga berjaya meraih ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Monash, Australia.

"Kesaksamaan dalam pendidikan ini boleh dicapai bila kita fokus kepada keupayaan seseorang itu. Kita di universiti, khususnya SUSS ini, fokus kita adalah untuk membantu mereka mencapai matlamat mereka. Kita fokus kepada dia orang punya pengalaman. Kalau kita boleh fokus kepada kemahiran mereka, dan bantu mereka untuk mencapai dia orang punya aspirasi akademik," ujar Profesor Madya Razwana.

Interaksinya bersama para mahasiswa termasuk para belia juga membuatkannya lebih prihatin terhadap isu yang membelenggu golongan tersebut iaitu kesihatan mental.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan beliau mempunyai dua orang anak lelaki yang sedang melayari kehidupan sebagai belia juga.

Selain sokongan daripada tenaga pengajar, pihak universiti juga cuba memberi lebih banyak peluang bagi pelibatan ibu bapa.

"Kita (universiti) juga ada banyak peluang untuk undang ibu bapa untuk memberitahu mereka apa yang kita ada, program-program kita ada. Ini adalah salah satu permintaan saya kepada ibu bapa di Singapura, anak-anak dah besar, mungkin mereka di universiti, tapi mereka juga masih ada cabaran. Mereka juga masih perlukan perhatian daripada ibu bapa dan keluarga,"

Dr Razwana, 48 tahun berharap pengalamannya dari segi teori dan amali boleh membantunya menjadi suara masyarakat yang lebih baik di parlimen.

PAKAR PSIKIATRI MAHU TUMPUKAN ISU KESIHATAN MENTAL

Seorang lagi NMP baharu yang prihatin terhadap isu-isu berkaitan kesihatan mental ialah pakar psikiatri, Dr Syed Harun Taha Alhabsyi.

Beliau yang baru sahaja membuka klinik bagi kesihatan mental di Kembangan Plaza mahu lebih banyak perbincangan tentang perkara itu dalam ruang umum.

"Penting untuk kita berbual atau berbincang tentang penyakit mental seakan penyakit kronik yang lain. Saya rasa itulah antara langkah-langkah yang penting yang mana ia menjadi kebiasaan untuk kita berbual tentang kesihatan mental dan isu-isu penyakit mental menjadi perbualan biasa bagi masyarakat secara amnya. Itu mungkin antara langkah yang amat penting supaya kita dapat sedikit sebanyak menghakis stigma, diskriminasi berkaitan kesihatan mental," kata Dr Syed Harun.

Dr Syed Harun juga merupakan Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM). (Gambar: Izwan Ohtman)
Dr Syed Harun juga merupakan Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM). (Gambar: Izwan Ohtman) 

​​​​​
Pemilik klinik The Starfish itu juga dapat ketengahkan pelbagai lagi cabaran yang dihadapi golongan yang menghidap penyakit mental di parlimen agar golongan itu dapat dibantu dengan lebih berkesan lagi.

"Sebagai seorang pakar psikiatri, saya juga dapat pendapat dari pakar-pakar tertentu dalam psikiatri juga. Mereka rasa teruja di mana mereka berharap dengan adanya saya dalam parlimen, saya dapat memberi pendapat dan juga beri pencerahan kepada isu-isu semasa terutama sekali dalam kesihatan mental dan saya rasa walaupun saya seorang di situ, saya membawa pendapat yang luas dan di bidang saya dan juga dari pengalaman saya yang terdahulu," jelas Dr Syed Harun.

Sebelum ke sektor perubatan awam, beliau merupakan pakar psikiatri di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) selama lebih sedekad.

Selain menguruskan kliniknya, Dr Syed Harun juga berkhidmat sebagai Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) serta anggota lembaga Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

"LBKM sudah beberapa dekad memberi tumpuan kepada pelajaran bagi golongan muda kita, jadi melalui apa yang saya dapati daripada LBKM, kita dapat mengetengahkan isu-isu seperti pelajaran, peluang-peluang bagi belia untuk terus berjaya dalam kehidupan mereka," kata beliau.

Hal seperti pendidikan dan peluang itu menurutnya dapat mewujudkan mobiliti sosial.

MEMBUAT PERSIAPAN BAGI PERSIDANGAN PERTAMA

Bagi mempersiapkan diri mereka, Dr Syed Harun dan Profesor Madya Razwana serta lagi enam muka baharu mengikuti beberapa taklimat mengenai aturan persidangan parlimen.

"Selain dari itu memang saya akan bertanya kepada mereka yang pernah bersidang di parlimen, tanya tip dan nasihat bagaimana ingin memberi pendapat mengikut tatatertib dan keperluan parlimen buat masa itu," kongsi Dr Syed Harun.

Bagi Profesor Madya Razwana pula, beliau banyak berbincang dengan pihak-pihak tertentu bagi lebih memahami keadaan mereka.

"Salah satu cara saya mempersiapkan diri saya adalah berbual dengan pelajar saya, macam mana mereka hadapi cabaran dalam pendidikan mereka dan juga dengan kesihatan mental mereka, wanita-wanita, berbual dengan masyarakat. Jadi saya dapat tahu apa sebenarnya masalah mereka dan sensitif dan peka kepada tekanan-tekanan yang mereka hadapi"

Mereka akan berkhidmat sebagai NMP selama satu penggal iaitu bagi tempoh dua tahun setengah.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan