Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 NMP ambil pendirian berkecuali, suarakan keprihatinan berhubung usul AHTC

Dua Anggota Parlimen Dilantik (NMP) mengambil pendirian berkecuali semasa undian di Parlimen pada Selasa (5 Nov) yang menyeru Parti Pekerja (WP) untuk bertanggungjawab berhubung kelemahan pentadbiran Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC).

Anggaran Waktu Membaca:
2 NMP ambil pendirian berkecuali, suarakan keprihatinan berhubung usul AHTC

NMP Anthea Ong dan Prof Madya Walter Theseira di Parlimen pada 5 Nov

Diterbitkan : 06 Nov 2019 12:52PM Dikemas Kini : 06 Nov 2019 12:58PM

SINGAPURA: Dua Anggota Parlimen Dilantik (NMP) mengambil pendirian berkecuali semasa undian di Parlimen pada Selasa (5 Nov) yang menyeru Parti Pekerja (WP) untuk bertanggungjawab berhubung kelemahan pentadbiran Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC).

Khususnya, usul difailkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan diluluskan Parlimen, yang menyeru agar Cik Sylvia Lim dan Encik Low Thia Khiang tidak melibatkan diri dalam sebarang ehwal kewangan majlis bandaran itu. Kedua-duanya ialah AP bagi kawasan undi GRC Aljunied.

Dua NMP yang mengambil pendirian berkecuali ialah Profesor Madya Walter Theseira dan Cik Anthea Ong. Hanya mereka dalam kalangan NMP bangkit untuk berucap semasa perbahasan usul itu.

"SATU RESOLUSI POLITIK?"

Prof Madya Theseira bertanya sama ada usul itu adalah "satu resolusi politik", memandangkan majlis bandaran adalah entiti politik yang diketuai AP yang dilantik bagi kawasan undi tersebut.

Meskipun beliau berpendirian bahawa Parlimen perlu memastikan para AP mengekalkan tahap kewibawaan yang tinggi dan mesti meneliti mereka yang tidak menepati standard tersebut, usul yang dibahaskan mempunyai kesan resolusi politik, katanya.

Prof Madya Theseira menambah beliau berasa tidak selesa mengambil bahagian dalam resolusi sedemikian sebagai seorang AP yang tidak dipilih. NMP mewakili pandangan tidak berpihak di Parlimen.

Dalam ucapannya pula, Cik Ong berkata beliau prihatin kerana usul tersebut tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk Cik Lim dan Encik Low tidak melibatkan diri dalam sebarang ehwal kewangan majlis bandaran itu.

Lantas, beliau "tidak selesa" mengundi bagi usul itu memandangkan sudah ada jalan menerusi undang-undang.

Beliau menarik perhatian peruntukan 2017 dalam Akta Majlis Bandaran, yang mengupayakan Pemerintah membetulkan kelemahan dalam ehwal kewangan sebuah majlis bandaran dan mengelaknya daripada berulang.

"LAKUKAN YANG BETUL DAN WAJAR"

Memberi respons kepada pandangan kedua-dua NMP, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga
Desmond Lee berkata beliau faham mengapa mereka melihat pembentangan usul itu sebagai langkah politik. Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan pandangan itu.

Encik Lee, yang juga Menteri Kedua Pembangunan Negara, menekankan usul itu bertujuan "melakukan perkara yang betul dan wajar" sebagai seorang AP dan bukan tentang politik. 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan