Skip to main content

Singapura

2 muslimah berkempen galak sumbangan zakat harta bantu pekerja muslim Bangladesh cedera

Satu inisiatif mengajak masyarakat tempatan menghulurkan wang zakat harta, demi membantu para pekerja muslim Bangladesh yang cedera, mendapat sambutan menggalakkan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Satu inisiatif mengajak masyarakat tempatan menghulurkan wang zakat harta, demi membantu para pekerja muslim Bangladesh yang cedera, mendapat sambutan menggalakkan.

Hasilnya, di bawah kempen pendanaan ramai #SGMuslims4MigrantWorkers itu, wang zakat sekitar $43,000 berjaya dikumpulkan semasa bulan Ramadan dan Syawal ini, bagi membantu dua pekerja muslim Bangladesh yang cedera dan terkandas.

BERITAMediacorp meninjau mengapa kempen tersebut diilhamkan dan bertemu dengan dua pekerja Bangladesh yang akan mendapat manfaatnya.

KISAH MOTIN ABDUL: CEDERA DAN PERLUKAN SEHINGGA $46,000 UNTUK RAWATAN

Pekerja Bangladesh ini, Motin Abdul mengalami kemalangan apabila jatuh dari tempat tinggi semasa bekerja di sini.

Inilah nasib yang terpaksa ditanggung pekerja muslim Bangladesh berusia 29 tahun, itu sekarang ini.

Bak sudah jatuh ditimpa tangga, beliau kemudian dimaklumkan mengalami ketumbuhan otak. Seperti tidak cukup dirundung malang, permit kerja Motin pula dibatalkan majikannya.

Kondisi kesihatan itu juga menjejas daya pendengaran dan penglihatannya, dan untuk merawatnya, ia memerlukan kos pembedahan sehingga $46,000.

Semasa ditemui BERITAMediacorp, Motin Abdul tidak dapat membendung kesedihannya dan beberapa kali menangis ketika diwawancara.

Yang pasti, beliau bimbang dengan masa depannya dan tidak mampu membayar kos rawatan tersebut.

"Saya hanya bimbang. Selepas ini, apa akan berlaku. Selepas ini, apa boleh saya lakukan? Sebab masalah saya besar, sangat besar," luahnya sambil menitiskan air mata.

Related article image
Encik Motin Abdul. (Gambar: Ira Musfirah)

(Gambar: BERITAMediacorp/Ira Musfirah)

KISAH RANA MOHAMMAD MASUM: RAHANG PATAH, KINI SUKAR MAKAN DAN BERCAKAP

Seorang lagi pekerja muslim Bangladesh, Rana Mohammad Masum, 22 tahun, juga cedera parah selepas terjatuh dari ketinggian empat meter semasa bekerja.

Akibatnya, tulang rahang beliau patah. Menyusuli kecederaan teruk itu, selama sembilan bulan Rana tidak boleh makan atau cakap dengan sempurna. Suaranya malah menjadi sengau-sengau dan pertuturannya tidak jelas kedengaran.

Semasa Rana memfailkan tuntutan pampasan kecederaan di tempat kerja kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM), ketika itulah majikannya membatalkan pula permit kerjanya.

Kini Rana bukan sahaja hilang pekerjaan, malah juga didapati mengalami penyakit batu karang pada buah pinggangnya dan berada dalam keperitan.

Rana juga tidak mampu membayar kos yang dianggarkan $20,000 untuk merawat masalah-masalah kesihatannya itu.

Kedua-dua Rana dan Motin kini berteduh di pusat kebajikan Transient Workers Count Too (TWC2).

Related article image
(Gambar: BERITAMediacorp/Ira Musfirah)

(Gambar: BERITAMediacorp/Ira Musfirah)

KEMPEN #SGMUSLIMS4MIGRANTWORKERS NYALAKAN HARAPAN

Prihatin tentang nasib mereka dan demi membantu kedua-dua pekerja asing itulah, dua karyawan muslim, Cik Shirin Chua dan Cik Ameera Aslam Begum, memulakan kempen pendanaan awam #SGMuslims4MigrantWorkers.

Kempen ini mengajak masyarakat muslim menderma wang zakat harta mereka kepada para pekerja asing malang itu, yang tergolong dalam asnaf layak menerimanya, iaitu ibnussabil, gharimin dan miskin.

Menerusi kempen di platform online LaunchGood itu, yang dimulakan pada 3 Ramadan, mereka berjaya mengumpul sumbangan zakat harta sekitar $43,000 setakat ini.

Walaupun masih kekurangan sekitar $23,000 untuk rawatan Rana dan Motin, ini suatu permulaan yang baik.

Pengurus Serantau LaunchGood, Ameera Aslam Begum berkata: "Masyarakat Islam Singapura menunjukkan sifat murah hati dan ambil peduli terhadap masyarakat yang lemah. Saya berharap Rana dan Motin dapat jagaan perubatan yang mereka perlukan dan boleh pulang ke pangkuan keluarga dalam jangka masa yang terdekat insya-Allah."

Related article image
Laman kempen #SGMuslims4MigrantWorkers.

Laman kempen #SGMuslims4MigrantWorkers.

"S'PURA TIDAK TERLALU FIKIRKAN PEKERJA ASING SEBAGAI PENERIMA ZAKAT"

Cik Ameera dan Cik Shirin, kedua-duanya 30 tahun, turut menarik perhatian bahawa majoriti pekerja asing yang cedera dan mendapatkan perlindungan di TWC2 adalah pekerja muslim.

Namun masyarakat muslim tempatan tidak banyak menderma bagi tujuan ini, kata mereka.

Tahun lalu misalnya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengutip wang zakat bernilai lebih $44 juta dari masyarakat Islam tempatan.

Cik Shirin memberitahu BERITAMediacorp: "Masyarakat Islam Singapura secara kolektif membayar zakat jutaan dolar setiap Ramadan dan kita mencari individu dan badan amal yang bermakna bagi pemberian zakat. Namun, ada golongan yang benar-benar di hadapan mata kita yang tergolong dalam pelbagai asnaf.

"Di Singapura, sebilangan besar pekerja asing dalam industri binaan adalah lelaki Islam dari Bangladesh, lantas mereka layak menerima zakat. Saya berpendapat ada sesuatu yang dapat dilakukan bagi memadankan kedua-duanya, kerana buat masa ini, masyarakat Islam Singapura tidak terlalu memikirkan tentang pekerja asing sebagai penerima zakat mereka."

Kempen #SGMuslims4MigrantWorkers juga menerima sumbangan zakat dan bukan zakat. Sumbangan zakat diberikan kepada pekerja asing cedera, manakala sumbangan biasa disalurkan kepada program hidangan makanan TWC2.

"Kami berpendapat ini mencerminkan kesedaran yang kian meningkat dalam kalangan rakyat Singapura tentang nasib pekerja asing di sekeliling kita, dan keinginan yang menjangkaui garisan masyarakat untuk menghulurkan bantuan kepada mereka," jelas Cik Shirin, yang bertugas sebagai seorang peguam dan kini berpangkalan di Paris.

AMEERA: AGAR KITA LEBIH PEKA DAN SEDAR AKAN SITUASI PEKERJA ASING

Lantaran itu juga, gerakan #SGMuslims4MigrantWorkers berharap mengubah keadaan tersebut dan mahu menjalankan kempen rayuan wang zakat harta seperti ini pada setiap Ramadan.

"Harapan saya adalah kita dampingi dengan baik, konsep indah zakat dan prinsip di sebaliknya, dan agar kita berbangga dengan konsep seperti ini dalam agama kita. Saya rasa kami memandang ringan terhadap konsep (seperti zakat) ini kerana kita membesar dengannya," tambahnya.

Cik Ameera turut memberi pendapat: "Jumlah yang kami kumpulkan bukan paling penting. Yang paling penting adalah masyarakat Islam Singapura lebih peka dan sedar akan situasi teruk yang pekerja asing lalui."

Kempen #SGMuslims4MigrantWorkers itu dijalankan sehingga 1 Julai ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita