2 Menteri SG lawat M'sia bagi hadiri LIMA 2023

Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen (kiri) dan Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan S Iswaran (kanan). (Gambar: MINDEF; Mediacorp)
SINGAPURA: Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen dan Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan S Iswaran dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Langkawi, bermula Isnin (22 Mei) bagi menghadiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi ke-16 2023 (LIMA 2023).
"Kali terakhir Dr Ng menghadiri LIMA pada 2019. Ini merupakan kali kelima beliau menghadiri LIMA," menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Semasa berada di Langkawi, Dr Ng dijadual menghadiri majlis perasmian LIMA 2023 dan jamuan tengah hari, menurut MINDEF.
"Dr Ng juga akan bertemu dengan Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Hasan di luar pameran tersebut," menurut kementerian itu lagi.
Dalam pada itu, Encik Iswaran akan mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri pengangkutan, termasuk Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke dalam lawatannya itu, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT).
Semasa lawatan itu juga, Encik Iswaran akan menghadiri majlis perasmian LIMA 23 dan jamuan makan tengah hari rasmi sempena pameran berkenaan.
Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai daripada MOT, menurut kenyataan itu lagi.
LIMA mula dianjurkan pada 1991 dan diadakan dua tahun sekali. Ia merupakan satu daripada pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di Asia Pasifik, dengan edisi tahun ini menampilkan lebih 600 peserta pameran dari lebih 30 negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.