Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 mayat ditemui dekat Hutan Simpanan Bukit Timah; ibu kemurungan bunuh diri dan anaknya

Setelah tidak mampu lagi bertahan dengan tuntutan kerja serta menjaga dua anak lelakinya, seorang wanita warga Jepun pertama kali berjumpa dengan ahli psikiatri dan diberikan perubatan. 

Anggaran Waktu Membaca:
2 mayat ditemui dekat Hutan Simpanan Bukit Timah; ibu kemurungan bunuh diri dan anaknya

Tempat berdekatan Hutan Simpanan Bukit Timah di mana mayat seorang wanita dan anaknya ditemui pada pagi 14 Nov 2019. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 19 Oct 2020 10:18PM Dikemas Kini : 19 Oct 2020 10:19PM

SINGAPURA: Setelah tidak mampu lagi bertahan dengan tuntutan kerja serta menjaga dua anak lelakinya, seorang wanita warga Jepun pertama kali berjumpa dengan ahli psikiatri dan diberikan perubatan.

Namun apabila cara itu gagal membantunya, Nami Ogata mencekik anak lelakinya yang berusia lima tahun sehingga mati di flat mereka pada 14 Nov tahun lalu. Dia kemudian memandu ke sebuah kawasan terpencil berhampiran Hutan Simpanan Bukit Timah dan meninggalkan anaknya itu di dalam kereta.

Ibu berusia 41 tahun itu kemudian memasuki kawasan hutan dan menikam dirinya sendiri sehingga mati.

Budak lelaki itu pertama kali ditemui di Lorong Sesuai sebelum mayat Ogata dijumpai tidak jauh dari situ. Kedua-dua beranak itu diisytiharkan mati di tempat kejadian.

Kematian Ogata dan anaknya dianggap sebagai "pembunuhan yang menyalahi undang-undang" dan bunuh diri oleh Koroner Negara Kamala Ponnampalam berdasarkan hasil siasatan yang dikeluarkan pada Isnin (19 Okt).

Ogata telah didiagnosis dengan gangguan kemurungan ketara dan dia turun berat badan sebanyak 8 kilogram serta menderita terus-menerus akibat insomnia (keadaan tidak dapat tidur atau sukar untuk tidur).

Koroner itu menarik perhatian Ogata terpukul dengan keadaan anaknya yang mengalami autisme dan gangguan hiperaktif kurang daya perhatian (ADHD) serta menunjukkan prestasi yang hambar di sekolah.

Dia meninggalkan suami dan seorang anak lelaki lebih kecil.

JUMPA DOKTOR SEBELUM BUNUH DIRI, ANAK

Semasa siasatan, mahkamah koroner diberitahu bahawa Ogata berjumpa dengan Dr Anthony Stanislaus dari Pusat Perubatan MHC tiga hari sebelum meragut nyawanya sendiri dan anak lelakinya.

Ketika itu, suami Ogata berada di China bagi urusan kerja. Beliau berhubungan dengan Ogata melalui telefon tetapi tidak mengesyaki sebarang perkara luar biasa.

Ogata memberitahu Dr Stanislaus dia tertekan akibat kerja dan menjaga dua anaknya. Moodnya tidak baik dan dia berasa resah sejak beberapa bulan lalu selain mengalami penurunan berat badan serta keguguran rambut.

Bagaimanapun, wanita itu menolak mempunyai rancangan atau niat untuk membunuh diri.

Ahli psikiatri Anand Patil dari klinik yang sama merawat Ogata pada lewat hari yang sama. Apabila Ogata memberitahu beliau dia berasa murung dengan fikiran mahu membunuh diri, Dr Patil segera merujukkannya ke Hospital Besar Singapura (SGH).

Dia sekali lagi menafikan bahawa dia aktif cuba membunuh diri. Dia akhirnya dibenarkan keluar hospital dengan pil tidur untuk menangani keadaan insomnia dan memo buat ahli psikiatri peribadinya, Dr Lim Boon Leng, untuk memeriksanya pada keesokan hari.

Apabila berjumpa dengan Dr Lim, Ogata mengadu dia tidak boleh tidur walaupun setelah mengambil pil. Wanita itu juga berkata dia pernah sekali mempunyai satu episod pendek untuk menamatkan riwayatnya, menurut Koroner Negara.

Bagaimanapun, dia tidak membuat sebarang persiapan dan berkata dia tidak akan mencederakan dirinya sendiri apabila mengenangkan anak-anaknya.

Dr Lim mendiagnos Ogata dengan gangguan kemurungan ketara dan memberikannya ubat-ubatan termasuk anti-kemurungan dan ubat penenang dengan kesan menstabilkan mood.

Beliau memberitahu wanita itu supaya berjumpanya dalam masa lagi tiga minggu ataupun lebih awal sekiranya masih mengalami masalah tidur atau keadaannya bertambah buruk.

TINGGALKAN NOTA BUNUH DIRI

Pada pagi yang malang itu, Ogata menghantar kiriman mesej kepada pembantu rumah keluarganya untuk memberitahu bahawa dia membawa anak lelakinya ke hospital kerana demam.

Berdasarkan siasatan polis, menurut Koroner Negara Kamala, Ogata mungkin sudah menjerut leher anak lelakinya itu lebih awal dengan menggunakan getah cerut yang panjang dan rafia di ruang tamu.

Dia menyelubungi jasad budak lelaki itu dengan sehelai selimut putih, meninggalkan kondominium mereka di Bukit Batok dengan membawa anaknya itu bersamanya sebelum memandu ke Lorong Sesuai.

Ogata kemudian meninggalkan keretanya sebelum menikam dirinya di dada dengan menggunakan pisau dapur.

Dua pegawai polis tambahan yang bertugas di Stesen Penyiaran Bukit Batok sedang meronda kawasan itu apabila mereka ternampak kereta Ogata di atas petak rumput.

Mereka ternampak budak lelaki itu di tempat duduk penumpang bahagian belakang kereta dan menghubungi polis.

Ogata meninggalkan dua nota bunuh diri, dalam bahasa Jepun, buat saudara lelakinya di Jepun serta suaminya.

Ogata memberitahu suaminya dia kemurungan dan akan membawa anak lelaki mereka bersamanya. Wanita itu juga berkata serangan panik yang dialaminya "sangat keterlaluan".

Dalam nota kepada saudara lelakinya pula, Ogata merayu kepada beliau agar menjaga anak lelaki bongsunya dan membesarkannya bersama dengan anak beliau. Ogata menambah dia sudahpun menguruskan perbelanjaan bagi keperluan masa depan anaknya itu.

DI MANA ANDA BOLEH DAPATKAN BANTUAN

  • Samaritans of Singapore: 1800-221-4444 (24 jam)
  • Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800-283-7019 (Isnin - Jumaat, 9.00 pagi - 6.00 petang)
  • Talian Kecemasan (Institut Kesihatan Mental): 6389 2222 (24 jam)
  • Tinkle Friend: 1800-274-4788 (Isnin - Jumaat, 9.30 pagi - 5.00 petang) 
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan