2 majlis bandaran selesai serah estet HDB kepada Majlis Bandaran Sengkang
Mulai Rabu (28 Okt), Majlis Bandaran Sengkang yang baru ditubuhkan akan mengambil alih pengurusan dan penyenggaraan estet-estet tertentu yang dahulunya di bawah pengurusan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol dan Majlis Bandaran Ang Mo Kio.
(Gambar: Twitter/Worker's Party)
SINGAPURA: Mulai Rabu (28 Okt), Majlis Bandaran Sengkang yang baru ditubuhkan akan mengambil alih pengurusan dan penyenggaraan estet-estet tertentu yang dahulunya di bawah pengurusan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol dan Majlis Bandaran Ang Mo Kio.
Estet-estet itu adalah:
Blok 201A hingga 299C yang terletak di Compassvale Bow, Compassvale Crescent, Compassvale Lane, Compassvale Link, Compassvale Road, Compassvale Street dan Compassvale Walk
Blok 101 hingga 197 di Rivervale Crescent, Rivervale Drive, Rivervale Street dan Rivervale Walk
Blok 121C hingga 282C di Sengkang Central, Sengkang East Avenue, Sengkang East Road dan Sengkang East Way
Blok 301A hingga 356B yang terletak di Anchorvale Drive, Anchorvale Link, Anchorvale Road, Anchorvale Lane, Anchorvale Crescent dan Sengkang East Way
Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol dan Majlis Bandaran Ang Mo Kio mengumumkan penyerahan itu melalui kenyataan media yang berasingan pada Selasa (27 Okt).
Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol menyatakan ia juga akan menyerahkan dua pejabatnya di Blok 266 Compassvale Bow dan Blok 156A Rivervale Crescent, kedua-duanya terletak dalam kawasan GRC Sengkang, kepada Majlis Bandaran Sengkang.
Majlis Bandaran Sengkang ditubuhkan bagi menguruskan GRC Sengkang, sebuah kawasan undi baru yang dimenangi oleh parti pembangkang Parti Pekerja (WP) dalam Pilihan Raya Umum tahun ini.
GRC Sengkang terdiri daripada sebilangan bahagian GRC Pasir Ris-Punggol sebelum sempadan baru ditetapkan bagi pilihan raya umum, bersama dengan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Sengkang West dan SMC Punggol East.
Para penduduk Sengkang boleh terus membayar yuran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) secara tunai di kedua-dua pejabat tersebut.
Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol akan memindahkan akaun para penduduk yang sudah mempunyai pelan bayaran online kepada Majlis Bandaran Sengkang tanpa sebarang gangguan.
Para penduduk Sengkang boleh menghubungi majlis bandaran mereka di talian 6590 9700 jika mempunyai sebarang pertanyaan.
"Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol ingin mengucapkan terima kasih kepada para penduduk Sengkang atas sokongan mereka, dan berharap mereka akan terus bekerjasama dengan Majlis Bandaran Sengkang dalam menjaga para penduduk dan kawasan kejiranan mereka," menurut kenyataan tersebut.
"Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Majlis Bandaran Sengkang," tambah kenyataan itu lagi.
Dalam kenyataannya, Majlis Bandaran Ang Mo Kio menyatakan: "(Kami) berterima kasih kerana diberikan peluang untuk berkhidmat kepada penduduk di SMC Sengkang West (Anchorvale) sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Majlis Bandaran Sengkang dalam berkhidmat kepada penduduk Sengkang."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.