Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lulusan Melayu/Islam SMU ini raih pencapaian Kepujian Tinggi

Sekurang-kurangnya dua mahasiswa Melayu/Islam dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) meraih Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tinggi atau Magna Cum Laude tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya dua mahasiswa Melayu/Islam dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) meraih Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Tinggi atau Magna Cum Laude tahun ini.

Pengiktirafan Magna Cum Laude hanya diberikan kepada para mahasiswa yang meraih nilai purata gred sekurang-kurangnya 3.6 mata dalam sistem gred 4.0 SMU.

Dua lulusan Melayu/Islam cemerlang yang ditemui BERITAmediacorp antara lebih 2,800 mahasiswa SMU yang menerima ijazah masing-masing dalam upacara konvokesyen yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini (30 Jul).

AHMAD NOORFAHMY PELAJAR "BIASA" CEMERLANG, AZAM JADI PEGUAM

Semasa Ahmad Noorfahmy Mohamad Salleh di bangku sekolah menengah, beliau merungut apabila disuruh membaca buku bertajuk To Kill a Mockingbird. Siapa sangka, buku yang mengisahkan tentang perjuangan seorang peguam membela lelaki kulit hitam yang dituduh merogol, menarik minatnya kepada bidang undang-undang.

Bagi keputusan GCE Peringkat 'A', pemuda berusia 25 tahun ini berjaya meraih dua gred A dan satu gred B bagi tiga subjek H2. Malangnya, Sekolah Perundangan SMU umumnya hanya mengambil para pelajar yang mendapat gred A bagi semua subjek peringkat H2. Namun, Noorfahmy tetap teguh hati lalu mencuba nasib dan akhirnya berjaya mendapat tempat di sekolah tersebut selepas meyakinkan pihak SMU tentang minat mendalamnya menerusi satu sesi temu duga.

Kini, beliau selangkah lebih dekat untuk menggapai cita-citanya menjadi seorang peguam. Noorfahmy begitu konsisten dalam pencapaian akademik sehingga mendapat nilai purata gred 3.62, dan mendapat pengiktirafan Magna Cum Laude. Dalam erti kata lain, beliau meraih gred A bagi hampir semua modul yang didudukinya.

"Saya seperti pelajar biasa, saya bukan selalu cemerlang dalam pelajaran. Semasa di St Joseph's Institution (SJI), saya pernah perlu berhenti mengambil satu subjek sains kerana prestasi saya kurang baik," kata Noorfahmy.

Anak bongsu dua beradik itu kini sedang mengikuti sesi-sesi bersama Institut Pendidikan Undang-Undang Singapura bagi mempersiapkan dirinya sebelum menduduki ujian yang menentukan jika beliau layak berkhidmat sebagai seorang peguam di sini.

Noorfahmy berharap beliau akan dapat menyalurkan kepakarannya dalam urusan perkapalan kelak. Beliau akan mula mengikuti latihan bersama syarikat Rajah and Tann pada Januari depan.

LAKUKAN HAMPIR 400 JAM KERJA KEMASYARAKATAN DI S'PURA, LUAR NEGARA

Menariknya, di tengah-tengah jadualnya yang padat semasa menuntut di SMU, Noorfahmy giat melakukan kerja-kerja kemasyarakatan. Meskipun para mahasiswa SMU hanya perlu memenuhi syarat melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama 80 jam, Noorfahmy sebaliknya melakukan lebih daripada itu. Bukan tambahan satu atau dua jam, tetapi 389 jam keseluruhannya!

"Saya bersyukur kerana dapat menabur bakti dan mengikuti pelbagai aktiviti kerana kalau saya asyik menumpukan perhatian pada pelajaran, ia akan membuat saya berasa tertekan.

Di Singapura, beliau bekerjasama bersama CARE Singapore untuk meniup inspirasi kepada golongan belia di bawah satu projek dinamakan Kidleidoscope. Di bawah projek itu, beliau memberi tuisyen kepada mereka.

"Sedang saya mengajar mereka, saya juga mempelajari sesuatu atau mungkin lebih daripada apa yang diajarkan kepada mereka. Saya melihat bagaimana mereka benar-benar bersemangat untuk tidak menjadikan cabaran kehidupan sebagai satu halangan," ujar Noorfahmy.

Selepas pengalaman bermaknanya mengikuti sekumpulan mahasiswa membantu golongan fakir miskin di Filipina, Noorfahmy juga terpanggil untuk menjadi anggota jawatankuasa penganjur bagi projek serupa.

"Kami mengadakan pelbagai program dan acara bagi para penduduk kampung di Batangas ketika itu. Ia benar-benar membuat saya tersentak apabila para penduduk di sana mengalu-alukan kedatangan kami di rumah mereka. Pengalaman itu membantu membentuk keperibadian saya untuk menjadi lebih baik," kongsi beliau.

Noorfahmy merancang untuk terus mencari masa dan menabur bakti apabila beliau sudah menjadi peguam nanti.

NUR SYAKIRAH RAIH IJAZAH SARJANA MUDA DENGAN KEPUJIAN TINGGI DALAM SISTEM MAKLUMAT

Bagi Nur Syakirah Mohd Said, cintanya terhadap bidang teknologi membawa beliau ke tangga kejayaan. Sejak masih di Sekolah Menengah East Spring, Syakirah sudah suka melungsuri Internet dan mengkaji isu-isu dalam bidang teknologi. Antaranya termasuk bagaimana penggodaman dilakukan.

Jauh sebelum mendapat keputusan GCE Peringkat 'O', beliau sudah berjaya mendapat tempat di Politeknik Temasek dalam jurusan Keselamatan Siber dan Forensik Digital.

Sebenarnya, keputusannya bagi GCE Peringkat 'O' tidak kalah memuaskan. Beliau meraih 9 mata bagi L1R5 dan 7 mata bagi L1R4. Ini bermakna, beliau layak bagi hampir semua kursus yang ditawarkan politeknik dan boleh memasuki maktab rendah. Namun, anak bongsu dua beradik ini juga sudah tekad untuk menceburi bidang yang diminatinya.

"Saya seseorang yang ingin tahu banyak perkara dan mencari huraian. Jadi, menceburi bidang teknologi sesuai untuk saya. Semuanya bergerak pantas dalam bidang ini dan saya berupaya untuk terus mempertingkat kemahiran saya," kata Syakirah.

PERJALANAN SEBAGAI MAHASISWA SMU PADA AWALNYA MENCABAR

Kalau di politeknik beliau mendalami bidang keselamatan siber dan forensik digital, di peringkat universiti pula, Syakirah memang sudah terdahulu merancang untuk mempelajari kaitan antara teknologi dengan perniagaan.

"Semasa saya di politeknik, saya sudah mempelajari semua aspek teknikal teknologi tetapi saya tidak tahu bagaimana ia membantu dalam urusan perniagaan," jelas Syakirah.

Beliau memilih SMU setelah mendapat tahu kurrikulum universiti itu lebih tertumpu kepada projek dan memberinya peluang untuk belajar di luar bilik darjah atau apa yang disifatkannya sebagai "hands-on".

Meskipun cemerlang dan mendapat pengiktirafan Magna Cum Laude kerana unggul dalam hampir setiap modul, Syakirah pada awalnya juga sukar untuk menyesuaikan diri di universiti.

"Saya memang sudah menjangkakan, pencapaian akademik saya akan turun sedikit apabila baru-baru memasuki SMU. Topik-topik yang kami pelajari lebih subjektif. Apabila kita mempelajari sesuatu yang teknikal, saya tahu apa jawapan yang harus diberikan bagi setiap masalah yang dikemukakan. Tetapi, sistem maklumat lebih kompleks," cerita Syakirah.

Syakirah mendapat GPA 3.64 bagi pengajiannya di SMU. Kini, beliau sedang menjalani program siswazah dengan syarikat Johnson & Johnson di mana beliau dapat mempelajari tentang pelbagai sistem dan teknologi dalam syarikat tersebut. Syakirah akan ditugaskan dalam satu bidang pengkhususan dalam syarikat selepas dua tahun.

INGIN BANTU PELAJAR KURANG BERNASIB BAIK

Sepanjang pengalamannya sebagai seorang pelajar, Syakirah melihat sendiri sebilangan pelajar Melayu yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana tidak mampu.

Selepas mendapat anugerah MENDAKI, beliau menyedari bahawa masyarakat setempat sememangnya prihatin dan menyokong pembelajaran anak-anak Melayu di sini.

Maka itu, bagi Syakirah, beliau ingin terus membuat sumbangan kepada pertubuhan-pertubuhan yang memperuntukkan dana bagi golongan seperti ini.

"Saya rancang untuk membuat sumbangan setiap tahun kepada badan-badan seperti MENDAKI dan AMP kerana ingin menyokong pendidikan para pelajar Melayu/Islam di sini."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan