Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lulusan Melayu ini raih ijazah sarjana muda dengan kepujian tertinggi dari NUS

Ini kisah dua belia Melayu yang baru sahaja secara rasmi tamat pengajian sarjana muda dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ini kisah dua belia Melayu yang baru sahaja secara rasmi tamat pengajian sarjana muda dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Kedua-duanya meraih ijazah dengan kepujian tertinggi - bermakna mereka mendapat gred A bagi kebanyakan modul yang diduduki sehingga akhirnya mendapat lebih 4.5 mata dalam sistem purata nilai gred (GPA) 5.0 NUS.

NUS tahun ini meraikan pencapaian lebih 23,500 graduan daripada kohort 2020 dan kohort 2021. Secara keseluruhan 60 upacara diadakan secara maya dan ini merupakan kali pertama acara itu dianjurkan sedemikian oleh NUS.

MINAT SEJAK KECIL DORONG INSYIRAH CEBURI SAINS HAYAT

Perjalanan Nur Insyirah Nurazmi, 23 tahun, menjadi lulusan cemerlang dalam jurusan sains hayat bermula sejak dia di bangku sekolah rendah lagi.

(Gambar: NUS)

Minat Insyirah terhadap sains mula berputik menerusi pendedahan dalam bilik darjah. Dari situ, dia perlahan-lahan mencari tahu tentang anatomi dan juga virus-virus yang menjejas manusia.

Maka tidak hairanlah bekas pelajar Maktab Rendah Raffles ini memilih jurusan sains hayat di NUS.

"Dalam keluarga saya, kebanyakan mereka minat ilmu fizik tetapi saya rasa saya lain sikit sebab saya lebih suka sains kemanusiaan (human science)," ujar Insyirah. Bapanya bekerja sebagai seorang jurutera sementara abangnya pula kini berkhidmat di SATS.

(Gambar-gambar: Nur Insyirah)

"Saya melanjutkan pelajaran dalam bidang sains hayat kerana saya ingin mencari tahu bagaimana saya boleh menyumbang dalam bidang jagaan kesihatan dan kajian," tambahnya.

KAJI TENTANG VAKSIN DENGGI BAGI PROJEK TAHUN AKHIR

Menariknya, beliau diberi peluang untuk membuat kajian tentang vaksin denggi bagi projek tahun akhirnya di Sekolah Perubatan Duke-NUS.

"Saya menerokai faktor-faktor yang menyumbang kepada (penghasilan) vaksin yang baik kerana sekarang di Singapura ataupun di seluruh dunia kami tidak ada vaksin yang begitu berkesan terhadap denggi," terang Insyirah.

Sejauh ini, hanya ada vaksin Dengvaxia yang diluluskan di Singapura. Namun ia hanya untuk mereka yang berusia antara 12 hingga 45 tahun. Tidak ada "bukti yang mencukupi" tentang keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut bagi mereka yang berusia 45 tahun ke atas.

Gambar fail. (Gambar: AFP)

Sungguhpun demikian, menerusi kajiannya, Insyirah berjaya menyelongkar satu dapatan menarik.

"Kami ada melihat molekul-molekul yang berkaitan dengan metabolisme dikaitkan dengan vaksin yang kami kaji. Tetapi pastinya, kajian lanjut harus dijalankan untuk mengetahui jika faktor itu memainkan peranan yang besar," jelas Insyirah lagi.

SUDAH DAPAT KERJA DI HOSPITAL AWAM

Walaupun kini sudah tamat pengajian di NUS, Insyirah masih lagi melakukan sesuatu yang sangat berkait rapat dengan minatnya terhadap sains.

Baru minggu lalu, Insyirah mula bertugas sebagai seorang eksekutif tadbir urus klinikal di sebuah hospital awam.

"Portfolio saya dalam pekerjaan ini adalah untuk menganalisis data pesakit dan meneliti aspek-aspek keselamatan di hospital. Saya juga melibatkan diri dalam kerja-kerja pentadbiran," kata Insyirah.

Kerjaya itu tambahnya, membolehkan dia memanfaatkan pengetahuan yang diraih semasa menceburi jurusan sains hayat mahupun kesihatan awam yang dijadikannya sebagai pengajian minor di NUS.

CAPAI KEPUJIAN TERTINGGI "BUKAN SESUATU YANG TIDAK MUNGKIN"

Sebenarnya, Insyirah juga cukup aktif dalam kegiatan ko-kurikular semasa menuntut di NUS.

Insyirah antara lain aktif dalam kumpulan mahasiswa Bahasa Melayu NUS (PBMUKS) di mana dia menggalas pelbagai peranan seperti selaku Naib Pengarah Projek dalam satu inisiatif memperkasa golongan belia berisiko.

Meski sibuk, Insyirah berjaya mengimbangi masa buat pelajarannya dan malah berjaya dimasukkan ke dalam senarai dekan buat dua semester berturut-turut bagi Tahun Akademik 2018/2019.

Pada 2019 juga, Insyirah menyertai satu program pertukaran siswa di King's College London.

Jadi bagaimana Insyirah dapat cemerlang dalam pelajaran meski cukup sibuk? Ini jawapannya:

"Ia bukan sesuatu yang tidak mungkin, boleh dilakukan jika ulang kaji secara konsisten dan pada masa yang sama, ada sikap ingin tahu secara meluas - daripada apa yang diajarkan dalam kelas.

"Pengetahuan itu dapat membantu bukan sahaja ketika peperiksaan tetapi dari segi pemahaman saya juga."

GEOGRAFI DARI SUDUT PANDANGAN DANIAL

Juga lulus dengan ijazah Kepujian Tertinggi dari NUS minggu lalu ialah Danial Iylia Roslin yang pula mempunyai minat mendalam dalam geografi.

(Gambar-gambar: Danial Iylia)

"Sebetulnya dahulu saya berimpian untuk menjadi seorang penjelajah setelah menonton dokumentari National Geographic," seloroh Danial.

Namun lebih penting lagi adalah, kata Danial, geografi mengupayakan dirinya untuk berfikiran luas, seperti memahami faktor-faktor luar yang boleh menjejas sesebuah masyarakat.

"Salah satu konsep besar dalam bidang geografi adalah 'relational thinking' atau pemikiran hubungan di mana kami meneliti bagaimana manusia dan alam persekitarannya ada hubungan antara satu sama lain," jelas Danial.

Anak sulung tiga beradik itu memberikan beberapa contoh:

"Misalnya bagaimana kemunculan virus COVID-19 dari satu tempat lain boleh menjejas Singapura yang terletak 100,000 kilometer dari tempat kemunculan virus itu atau bagaimana perubahan iklim boleh membawa kesan kepada rancangan pembangunan Singapura pada masa akan datang."

Bagi tesisnya, Danial malah merungkai satu isu menarik. Tajuk tesisnya adalah 'Biopolitical Geographies of Madrasah Graduates: Youthful Transitions Towards 'Successful' Muslim Citizenship in Singapore (Geografi biopolitik lulusan madrasah: Peralihan bagi Muslim 'Cemerlang' di Singapura).

Menerusi projek tahun akhir itu, Danial meninjau laluan 15 lulusan madrasah selepas mereka tamat sekolah. Dia kemudian berhujah bahawa laluan yang diambil cukup pelbagai - sesuatu yang kian menjadi suatu norma dalam ekonomi 'neoliberal'. Agama pula dilihatnya sebagai suatu sumber yang membuat para lulusan itu berdaya bingkas dalam ekonomi yang berubah-ubah.

Natijahnya, geografi ini tidak hanya mencakupi ilmu alam sahaja.

BERBAKTI MESKI SIBUK

Menariknya walaupun sibuk, Danial juga melakukan kerja-kerja kebajikan sepanjang dia menuntut di NUS.

Dia menyertai sebuah kumpulan mahasiswa dari pelbagai institusi untuk membimbing para pelajar madrasah yang akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Menerusi inisiatif kumpulan dikenali sebagai APEX itu, Danial seminggu sekali mengajar murid-murid madrasah darjah enam secara percuma.

Siapa sangka, ini sedikit sebanyak mendorongnya untuk menceburi bidang pendidikan sebagai kerjayanya pula.

"Sememangnya ijazah geografi ini membolehkan seseorang mengejar kerjaya yang mereka minati. Kami tidak terikat kepada hanya satu kerjaya," kata Danial.

(Gambar: NUS)

Danial kini mengikuti program possiswazah di Institut Pendidikan Nasional (NIE). Tahun depan, dia akan rasmi menjadi seorang guru sekolah menengah yang mengajar geografi dan pendidikan sosial.

"Saya ingin dikenali sebagai seorang guru yang mendorong para pelajar saya mencapai potensi mereka yang sepenuhnya. Bagi saya, ia penting bagi pelajar saya untuk memberi yang terbaik dan berasa bangga dengan hasil titik peluh mereka."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan