Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lelaki warga SG diberkas terlibat kes pergaduhan maut di Johor Bahru

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Dua lelaki warga Singapura ditahan reman selama sehari bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di hadapan sebuah premis di Jalan Trus, Johor Bahru pada awal pagi Jumaat (27 Okt).

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Johor Bahru, Nurkhalida Farhana Abu Bakar terhadap kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 26 dan 29 tahun.

Bagaimanapun, Nurkhalida Farhana menolak permohonan reman seorang suspek wanita warga tempatan berusia 33 tahun yang turut ditahan pada Jumaat, lapor Sinar Harian.

Semasa keluar dari bilik reman, salah seorang daripada suspek bertanya kepada sekumpulan jurugambar sama ada mereka merakam gambar dan video berkaitan kes bunuh sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Raub Selamat berkata, kesemua suspek terbabit ditahan kurang dua jam selepas kejadian.

Menurutnya lagi, sebelum itu polis mengesan sebuah kereta jenis Audi dinaiki semua suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tanjung Puteri, Johor Bahru.

"Semua suspek berjaya ditahan dan pihak polis turut merampas sebuah hulu pisau berwarna kuning dan mata pisau, sehelai baju berwarna hijau, dua helai seluar warna hitam, tiga telefon bimbit dan sehelai baju berwarna hijau putih," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu, Encik Raub berkata, hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

"Pihak polis turut menyiasat kes di bawah Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pemandu kereta berkenaan disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987," katanya lagi.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan