2 lelaki, remaja diberkas kerana cuba merompak di Punggol; mangsa cuba beli kripto
Polis menemukan sebilah pisau dan wang tunai bernilai sekitar S$81,000 selepas percubaan rompakan di Punggol pada 18 Nov 2023. (Gambar: SPF)
Mangsa, seorang lelaki berusia 33 tahun, mendapat tawaran daripada seseorang yang tidak dikenali di Telegram untuk membeli token kripto dengan membayar wang tunai, menurut polis dalam kenyataan medianya pada Ahad (19 Nov).
Sesuai peraturan individu yang tidak dikenali itu, mangsa bertemu dengan seorang remaja lelaki, 16 tahun, di Punggol Field, untuk menyerahkan wang tunai bernilai S$81,000.
Namun, ketika mengira wang, remaja terbabit dipercayai merampas beg berisi wang yang dipegang mangsa lalu melarikan diri.
Mangsa mengejar dan menahan remaja itu yang kemudian mengeluarkan sebilah pisau tetapi ia terlepas daripada genggamannya.
Remaja berkenaan seterusnya ditahan dengan bantuan dua lelaki serta seorang wanita, dan diberkas polis. Mangsa berjaya mendapatkan kembali semua wangnya.
Selepas menjalankan siasatan dan merujuk kepada rakaman kamera-kamera polis, polis berjaya mengenal pasti identiti dua lelaki lain yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.
Suspek pertama, 33 tahun, ditangkap di Circuit Road sementara suspek kedua, 27 tahun, diberkas di Ang Mo Kio Avenue 9 pada keesokan harinya.
Lelaki yang berusia 33 tahun dan remaja yang berusia 16 tahun akan didakwa di mahkamah esok (20 Nov) kerana bersubahat melakukan rompakan. Siasatan terhadap lelaki yang berusia 27 tahun masih dijalankan.
"Orang ramai dinasihati tidak membawa wang tunai dalam jumlah yang besar di tempat awam," menurut polis.
"Apabila mahu dirompak, orang ramai harus kekal tenang, perhatikan wajah dan ciri-ciri fizikal pelaku, lalu menghubungi polis secepat mungkin."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.