Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lelaki rakyat SG didakwa selepas ditangkap dalam serbuan edar dadah di Johor

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua lelaki rakyat Singapura, yang ditangkap di Johor semasa beberapa serbuan penyalahgunaan dadah, didakwa di Singapura pada Khamis (13 Jun) kerana mengedar dadah dan gagal melaporkan diri bagi ujian air kencing.

Dua lelaki terbabit, yang berusia 48 dan 35 tahun, diberkas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (NCID) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 29 Mei lalu.

Semasa operasi tersebut dijalankan, NCID memberkas 14 suspek atas kesalahan mengedar dadah dan merampas dadah bernilai RM11.6 juta (S$3.2 juta) di beberapa lokasi.

Dua lelaki warga Singapura itu diserahkan kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura pada 12 Jun.

Lelaki berusia 48 tahun itu diburu bagi kegiatan pengedaran dadah yang disyaki dilakukan di Singapura. Manakala, lelaki berusia 35 tahun terbabit dikehendaki kerana gagal melaporkan diri bagi ujian air kencing sejak Oktober 2023, nyata CNB dalam satu kenyataan media.

Polis Diraja Malaysia mengatakan dalam satu kenyataan media sebelum ini bahawa 14 individu tersebut - yang terdiri daripada dua lelaki warga Malaysia, enam lelaki warga asing dan enam wanita rakyat asing dalam lingkungan usia antara 22 hingga 52 tahun - diberkas dalam tujuh serbuan yang dilakukan di merata kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Dalam kalangan mereka yang diberkas termasuk seorang lelaki warga asing berusia 49 tahun, yang dikatakan merupakan seorang ketua sindiket itu. NCID turut menjumpai kemudahan pemprosesan sindiket berkenaan.

Ia menambah anggaran berat kesemua dadah yang dirampas ialah 198.5 kilogram termasuk serbuk Ecstasy dan pil, syabu, ketamin, pil Erimin-5 dan MDMA.

Jumlah dadah yang dirampas itu dilaporkan mampu memenuhi ketagihan kira-kira 1.24 juta penagih, jelas pengarah NCID Khaw Kok Chin.

Polis Diraja Malaysia juga merampas enam buah kenderaan, 14 butir jam tangan pelbagai jenama, barang kemas serta wang tunai bernilai RM204,069 (S$58,425) dan S$22,970. Nilai keseluruhan barangan yang dirampas itu dianggarkan berjumlah RM1.17 juta (S$334,971).

DADAH DISEMBUNYIKAN DALAM PAKET JUS

Encik Khaw menjelaskan bahawa sindiket tersebut, yang aktif dijalankan sejak Januari, menyewa beberapa kondominium dan rumah teres dengan pagar dan pengawal.

Siasatan mendedahkan bahawa salah satu taktik yang digunakan sindiket tersebut termasuk membungkus dadah dalam paket jus, serta menghasilkan dadah yang kelihatan seperti ubat-ubatan, termasuk ubat tahan sakit.

Sementara itu, Pemangku Pengarah CNB, Penolong Kanan Pesuruhjaya Leon Chan merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Jika disabit bersalah, lelaki-lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup dengan 15 sebatan rotan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan