Skip to main content

Singapura

2 lelaki pandu kereta 180 km/j di CTE dipenjara

Dua lelaki yang memandu dua kali lebih laju daripada had kelajuan di Ekspreswe Central (CTE) tahun lalu dikenakan hukuman penjara dua minggu pada Rabu (22 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki pandu kereta 180 km/j di CTE dipenjara

Gambar fail lebuh raya di Singapura. (Gambar: Hester Tan)

Diterbitkan : 22 May 2019 10:13PM Dikemas Kini : 22 May 2019 10:15PM

SINGAPURA: Dua lelaki yang memandu dua kali lebih laju daripada had kelajuan di Ekspreswe Central (CTE) tahun lalu dikenakan hukuman penjara dua minggu pada Rabu (22 Mei). Mereka juga dilarang daripada memandu selama empat tahun.

Ng Chee Yong, 27 tahun, dan Allan Chia Chee Shin, 39 tahun, adalah antara 10 hingga 15 pemandu yang berjumpa di Kuil Loyang pada malam 13 Oktober tahun lalu.

Mahkamah diberitahu, Ng dan Chia - masing-masing memandu Mitsubishi Evolution 10 berwarna kelabu dan hitam - bersetuju untuk pergi "rounding" atau bersiar-siar menaiki kenderaan dengan menetapkan Taman East Coast sebagai destinasi.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Andre Chiong, apabila Ng dan Chia sedang memandu di sepanjang CTE menghala ke Ekspreswe Ayer Rajah - antara Yio Chu Kang Road dengan Braddell Road - mereka bersepakat untuk "mengusik" satu sama lain semasa memandu kereta masing-masing.

Kedua-dua lelaki itu memotong beberapa kereta semasa mengejar satu sama lain sambil bertukar-tukar lorong pada kelajuan tinggi.

Selepas tengah malam pada 14 Oktober, seorang pegawai polis trafik ternampak kedua-dua lelaki itu memecut laju - kenderaan Chia dipandu sehingga 178 kilometer sejam manakala kenderaan yang dibawa Ng pula bergerak pada kelajuan 184 kilometer sejam. Had kelajuan adalah 90 kilometer sejam.

Kelajuan kenderaan Chia dikesan pada pistol laser yang digunakan pegawai berkenaan dan urutan kejadian dirakamkan dalam kamera yang dipasangkan di kenderaannya.

Pegawai polis trafik itu mengarahkan Chia memberhentikan kenderaannya sebelum jalan susur keluar di Balestier Road dan lelaki itu mengaku kesalahannya.

Ng ditahan kemudian di rumahnya setelah lelaki itu pergi makan malam di McDonald's dekat Taman East Coast.

Chia dan Ng masing-masing mengaku bersalah ke atas satu tuduhan memandu secara berbahaya. Mereka boleh dipenjara sehingga setahun, didenda S$5,000 atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita