Skip to main content

Singapura

2 lelaki Indonesia didakwa kerana masuk S'pura secara haram; rokok seludup ditemui semasa diberkas

Dua lelaki rakyat Indonesia didakwa dengan tuduhan memasuki Singapura secara haram pada Rabu (18 Nov), menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya.

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki Indonesia didakwa kerana masuk S'pura secara haram; rokok seludup ditemui semasa diberkas

(Gambar: SPF)

Diterbitkan : 18 Nov 2020 06:20PM Dikemas Kini : 18 Nov 2020 06:22PM

SINGAPURA: Dua lelaki rakyat Indonesia didakwa dengan tuduhan memasuki Singapura secara haram pada Rabu (18 Nov), menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya.

Kedua-dua lelaki itu ditangkap menyusuli maklumat yang diberikan oleh kontraktor Lembaga Taman Negara (NParks) pada Isnin (16 Nov), yang melihat seorang lelaki berkelakuan mencurigakan sebelum memasuki kawasan hutan berhampiran Pusat Pameran Changi, menurut polis.

Para pegawai dari Polis Pengawal Pantai, Divisyen Polis Bedok dan Kontinjen Gurkha melakukan pencarian dan memberkas kedua-dua lelaki itu dalam tempoh dua jam selepas menerima maklumat.

Enam kotak berisi 300 karton rokok yang tidak dibayar cukai, sebuah enjin sangkut dan sebuah bot kaca gentian (fiberglass) turut dirampas.

Kedua-dua lelaki itu didakwa di mahkamah pada Rabu atas kesalahan memasuki Singapura secara haram dan mereka sudah diserahkan kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) bagi siasatan lanjut. Kastam Singapura juga akan menjalankan siasatan ke atas mereka berdua kerana memiliki rokok yang tidak dibayar cukai.

"Ini satu contoh baik di mana orang awam bekerjasama dengan pihak polis untuk melindungi perairan dan sempadan laut daripada ancaman keselamatan dan jenayah," kata Komander Polis Pengawal Pantai, Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis Cheang Keng Keong.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan dan disebat sekurang-kurangnya tiga kali bagi kesalahan memasuki Singapura secara haram. Bagi kesalahan memiliki barangan yang tidak dibayar cukai, mereka boleh dikenakan denda sehingga 40 kali daripada jumlah cukai dan GST yang cuba dielakkan, hukuman penjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita