Skip to main content

Singapura

2 lelaki dituduh rogol wanita di bawah jejambat Tuas ditahan reman

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki dituduh rogol wanita di bawah jejambat Tuas ditahan reman

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

SINGAPURA: Dua lelaki yang dituduh merogol seorang wanita berusia 32 tahun di bawah jejambat Tuas ditahan reman hari ini (17 Mac) bagi pemantauan psikiatri.

Ahmed Rayhan, 30 tahun, dan Alam Foysal, 36 tahun, didakwa merogol wanita itu berhampiran stesen MRT Tuas West Road sekitar pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 2.20 pagi pada 8 Mac.

Hakim Daerah Terence Tay memerintahkan kedua-dua lelaki itu agar ditahan reman di pusat perubatan Kompleks Penjara Changi selama tiga minggu. Mereka akan kembali dihadapkan ke mahkamah pada bulan depan.

Alam diwakili peguam bela A Revi Shanker, manakala Ahmed kekal tidak diwakili.

Mereka hadir di mahkamah menerusi persidangan video dan mengikuti prosiding melalui penterjemah bahasa Bengali.

Warga Bangladesh itu sebelum ini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Polis menyatakan pada minggu lalu bahawa pihaknya menerima panggilan meminta bantuan kira-kira pukul 7.25 pagi pada 8 Mac, selepas seorang wanita ditemui cedera dan dalam keadaan tidak sedar di Pioneer Road.

Mangsa didapati mengalami pelbagai kecederaan di bahagian kepala dan badan lalu dikejarkan ke hospital. Pemeriksaan perubatan mendapati bahawa kecederaannya disebabkan serangan seksual.

Kedua-dua tertuduh tersebut ditahan pada hari yang sama. Menurut siasatan awal, kedua-dua lelaki itu tidak dikenali oleh mangsa yang didakwa dibawa ke Pioneer Road untuk diserang.

Jika sabit kesalahan merogol, kedua-dua tertuduh itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda atau dikenakan sebatan rotan.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita