2 lelaki ditangkap sembunyi dalam but kereta Malaysia untuk keluar SG: ICA
Dua lelaki yang didakwa cuba meninggalkan Singapura secara haram ditemui bersembunyi di dalam but sebuah kereta berdaftar Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Dua lelaki Malaysia ditemui bersembunyi dalam but sebuah kereta berdaftar di luar negara. (Gambar: ICA)
Demikian menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan media pada Selasa (8 Jul).
Kedua-dua lelaki dan pemandu - kesemuanya warga Malaysia - ditangkap dan didakwa di mahkamah Sabtu lalu (5 Jul).
Kira-kira pukul 3.00 pagi Sabtu, kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 20 tahun itu diarahkan untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Woodlands. Pegawai ICA menemui dua lelaki berusia 30 dan 31 tahun bersembunyi di dalam but kereta. Tiada seorang pun daripada mereka mempunyai dokumen perjalanan.
Pihak berkuasa menyatakan pihaknya memandang serius percubaan untuk masuk atau keluar dari Singapura secara haram dan tidak akan teragak-agak untuk mendakwa pesalah.
Hukuman bagi percubaan keluar Singapura secara haram adalah denda sehingga S$2,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya.
Jika didapati bersalah kerana membawa pendatang tanpa izin keluar dari Singapura, pesalah berdepan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan minimum tiga sebatan rotan.
Bagi kesalahan masuk secara haram, pesalah berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan minimum tiga sebatan rotan.
"Kenderaan yang digunakan dalam kesalahan sedemikian boleh dirampas," tambah ICA.
Penolong Pesuruhjaya Kanan Maran Subrahmaniyan, komander Pusat Pemeriksaan Woodlands, berkata: "Pengesanan ini adalah gambaran jelas dedikasi dan kewaspadaan pegawai kami dalam menjaga sempadan Singapura.
"ICA kekal komited untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan menyeluruh ke atas penumpang dan kenderaan di pusat pemeriksaan bagi menghalang dan mencegah penyeludupan manusia yang tidak diingini dan barangan larangan, termasuk dadah, senjata, bahan letupan, dan barangan seludup lain.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.