Skip to main content

Singapura

2 lelaki dihukum penjara, disebat kerana rogol gadis 16 tahun di Taman Admiralty

Dua lelaki yang merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di tandas awam ketika mangsa berada dalam keadaan mabuk dijatuhi hukuman penjara dan sebatan rotan oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin (7 April).

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki dihukum penjara, disebat kerana rogol gadis 16 tahun di Taman Admiralty

Mahkamah Tinggi di Singapura. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 08 Apr 2025 12:35AM Dikemas Kini : 08 Apr 2025 12:37AM
SINGAPURA: Dua lelaki yang merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di tandas awam ketika mangsa berada dalam keadaan mabuk dijatuhi hukuman penjara dan sebatan rotan oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin (7 April).

Muhammad Isnalli David, 22, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun enam bulan dan 12 sebatan rotan selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan rogol.

Tiga lagi pertuduhan – serangan seksual melibatkan penembusan, merogol, dan pencerobohan jenayah – diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Muhammad Al’Amin Selamat, 23 tahun, pula dijatuhi hukuman penjara 10 tahun enam bulan dan 12 sebatan rotan selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan rogol.

Dua lagi pertuduhan serangan seksual melibatkan penembusan dan pencerobohan jenayah turut diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Timbalan Pendakwa Raya Tay Jia En berkata seorang lagi lelaki, Raden Zulhusni Zulkifri, 27 tahun, yang didakwa turut terlibat sama dalam kes tersebut, sedang dibicarakan dan prosiding baginya masih lagi dijalankan.

Identiti mangsa, yang kini berusia 19 tahun, tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah.

Isnalli pertama kali bertemu mangsa pada 27 Mac 2022 ketika berusia 19 tahun. Mangsa ketika itu berusia 16 tahun dan ditemani seorang rakan wanita berusia 21 tahun yang mengenali Isnalli.

Mereka bertiga telah menonton filem di pawagam bersama-sama. Selepas itu, Isnalli menyatakan hasratnya untuk minum alkohol. Mangsa meminta untuk menyertainya berbuat demikian.

Isnalli kemudian membeli sebotol gin dan beberapa minuman tenaga sebelum mereka ke Taman Admiralty. Antara pukul 8.00 hingga 9.00 malam, empat lagi individu – termasuk Raden dan Al’Amin – menyertai mereka.

Selepas minum beberapa cawan alkohol, mangsa menjadi mabuk dan mahu muntah. Isnalli, yang juga mabuk, membawanya ke tandas, membantunya di singki sebelum menarik gadis tersebut masuk ke ruang tandas wanita.

Isnalli mengunci pintu, menanggalkan pakaian mangsa dan dirinya, sebelum melakukan serangan seksual dan merogol mangsa.

Raden dan Al’Amin, juga dalam keadaan mabuk, pergi ke tandas untuk mencari mereka sekitar 9.50 malam.

Kedua-dua mereka melihat Isnalli merogol mangsa dan merakam kejadian tersebut dalam satu video dengan durasi selama 52 saat. Isnalli kemudian merogol gadis tersebut buat kali kedua sebelum Raden memasuki tandas berkenaan.

Tidak lama kemudian, Al’Amin memasuki tandas tersebut dan merogol mangsa.

Mahkamah difahamkan bahawa mangsa beberapa kali mengulang perkataan “jangan” dan “tidak” semasa kejadian.

Setelah selesai menyerang mangsa, Isnalli membantu mangsa memakai semula pakaiannya dan mereka keluar dari tandas berkenaan pada pukul 10.17 malam.

Kumpulan itu kemudian ke perhentian bas di mana Isnalli meminta maaf kepada mangsa. Namun mangsa tidak menjawab.

Dalam menyampaikan hukumannya, Hakim Mahkamah Tinggi Aidan Xu berkata bahawa kes-kes rogol memerlukan hukuman yang keras tanpa mengira umur pelaku.

Tambah beliau, serangan "berkelompok" menyebabkan pencabulan berpanjangan terhadap mangsa, yang meningkatkan kemudaratan terhadapnya.

Beliau juga berkata bahawa satu serangan adalah "buruk", tetapi serangan "satu demi satu" memerlukan hukuman yang berat.

Atas kesalahan rogol, Isnalli dan Al'Amin boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda atau disebat.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita