Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lelaki dihukum penjara; curi tepung susu pasar raya dengan niat kaut untung

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara pada Rabu (12 Apr) kerana mencuri tepung susu daripada pasar raya dengan niat untuk mengaut keuntungan.

Muhammad Lutfi Rambly, 29 tahun, dihukum penjara selama lima bulan, dengan hukuman penjara tambahan selama 36 hari kerana melakukan kesalahan selepas dibebaskan dari penjara.

Lutfi, seorang pesalah berulang, mengaku bersalah atas satu tuduhan mencuri. Tuduhan kedua turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Dalam kes berasingan, Sophiaan Hamzah, 47 tahun, dikenakan hukuman penjara selama 10 minggu setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan mencuri. Lagi dua tuduhan dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Lutfi pergi ke pasar raya Sheng Siong di Blok 739A Bedok Reservoir Road pada 5 Januari untuk mencuri tepung susu.

Dia mencuri lima tin tepung susu Enfagrow dan Enfamil bernilai S$471.55 dan meletakkannya dalam begnya sebelum meninggalkan pasar raya tersebut.

Pada 10 Januari, Lutfi mencuri lagi enam tin tepung susu bernilai S$554.76 daripada pasar raya NTUC FairPrice di SingPost Centre berdekatan Eunos Road. Dia diberkas oleh polis.

Lutfi mengaku mencuri tepung susu untuk mengaut keuntungan. Dia menjual tepung susu itu menerusi Telegram kepada pembeli yang tidak diketahui tetapi tidak menghantarkannya kepada mereka.

Dia pernah didakwa sebelum ini, termasuk jenayah ragut pada 2019. Dia mencuri tepung susu itu selepas dibebaskan dari penjara.

KES KEDUA

Seorang lagi pencuri tepung susu, Sophiaan, pergi ke pasar raya Sheng Siong di Blok 61 Teban Gardens Road sebanyak dua kali pada Februari untuk mencuri tepung susu.

Dia mencuri satu tin tepung susu Enfamil Pro berharga S$71 pada 24 Februari. Dua hari kemudian, dia pergi ke cawangan yang sama dan memasukkan tin tepung susu daripada jenama yang sama ke dalam beg plastik.

Sophiaan sedang berjalan keluar dari pasar raya itu dengan tin yang diletakkan dalam beg plastik apabila seorang juruwang melihatnya meninggalkan pasar raya itu tanpa membuat bayaran.

Juruwang itu kemudian memberitahu pembantu kedai itu, yang membuat aduan polis secara online setelah melihat rakaman CCTV.

Sophiaan diberkas di flatnya yang terletak berdekatan dan dua tin tepung susu dirampas. Dia mengaku mencuri tepung susu itu dengan niat untuk menjualnya bagi mendapatkan wang.

Sophiaan meminta hukumannya diringankan kerana ibunya sakit dan berkerusi roda, manakala adiknya mengalami sawan. Menurut Sophiaan, jika hukumannya diringankan, dia boleh dibebaskan lebih awal dan menjaga ibu dan adik perempuannya.

Sesiapa sahaja yang didapati bersalah kerana mencuri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan