Skip to main content

Singapura

2 lelaki didakwa mencuri dalam pesawat dibawa semula ke tempat kejadian di Changi

Dua warga China yang berdepan tuduhan mencuri dalam pesawat dibawa semula oleh polis ke tempat kejadian di Lapangan Terbang Changi pada Khamis (5 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
 2 lelaki didakwa mencuri dalam pesawat dibawa semula ke tempat kejadian di Changi

Liu Xitang, 35, dibawa semula ke tempat kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada 5 Jun 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 05 Jun 2025 04:18PM Dikemas Kini : 05 Jun 2025 04:19PM
SINGAPURA: Dua warga China yang berdepan tuduhan mencuri dalam pesawat dibawa semula oleh polis ke tempat kejadian di Lapangan Terbang Changi pada Khamis (5 Jun).

Mereka dituduh mencuri wang tunai sebanyak S$169 dan dua kad debit daripada seorang mangsa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Singapura.

Kedua-dua lelaki itu dibawa ke beberapa lokasi sepanjang kawasan ketibaan di Terminal 1, bermula dari pintu pagar D48 di mana mereka keluar dari pesawat.

Tertuduh pertama yang tiba kira-kira pukul 10.35 pagi tadi ialah Liu Xitang.

Liu yang berusia 35 tahun duduk di kerusi roda, dengan kaki kanannya berbalut.

Dia memakai kemeja polo putih dan seluar pendek biru gelap dengan tuala ungu menutup bahagian kakinya.

Liu memberitahu mahkamah semalam bahawa dia mengalami keretakan pada tulang kaki.

Dia diiringi oleh tiga polis penyiasat lelaki yang bercakap dengannya dalam Bahasa Mandarin.

Mereka bertanya beberapa soalan sebelum menolaknya ke kawasan merokok berhampiran pintu pagar D36, di mana soal siasat diteruskan.
Related article image
Liu Xitang, 35 tahun, diiringi oleh beberapa pegawai polis berhampiran pintu ketibaan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada 5 Jun 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Related article image
Kawasan merokok di mana Liu Xitang dan Wang Wei berlegar selepas penerbangan mereka di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi. (Gambar: CNA/Faith Ho)
Related article image
Liu Xitang menjawab soalan daripada polis penyiasat di dewan ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada 5 Jun 2025. (Gambar: CNA/Faith Ho)
Kumpulan itu turut berhenti di dua tempat - satu sebelum laluan pejalan kaki bergerak (travelator), dan berhampiran kedai-kedai di atas dewan imigresen.

Liu kemudian dibawa ke sebuah tong sampah di mana polis sebelum ini menemui dua kad debit milik mangsa.

Sesi soal siasat berakhir sebelum pukul 10.50 pagi dan anggota media dibawa semula ke pintu pagar D48.

Tertuduh kedua dalam kes, Wang Wie, 40 tahun, diiringi ke pintu pagar oleh lima pegawai polis pada kira-kira pukul 11.10 pagi.

Wang Wei kelihatan bercermin mata dan memakai pakaian serupa dengan Liu.

Para penyiasat membawanya melalui laluan yang sama seperti Liu.

Mereka juga dilihat menyoal siasatnya semasa menaiki travelator.
Related article image
Wang Wei, 40 tahun, diiringi oleh pegawai polis semasa dibawa semula ke tempat kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada 5 Jun 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Related article image
Wang Wei, 40 tahun, disoal siasat oleh penyiasat polis ketika menaiki travelator berhampiran pintu ketibaan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada 5 Jun 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Wang dan para pegawai polis meninggalkan tempat kejadian kira-kira pukul 11.25 pagi, tidak lama selepas mereka berhenti di depan sebuah tong sampah.

Liu dan Wang diberkas pada Isnin selepas polis dimaklumkan kepada kes curi dalam pesawat kira-kira pukul 8.50 malam.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita