Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lelaki didakwa dedah orang lain kepada risiko COVID-19; cuti sakit tapi ke Jem & Giant

Dua lelaki didakwa hari ini (5 Jul) dalam dua kes berasingan, mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan COVID-19 kerana mengunjungi tempat-tempat seperti pasar raya Giant dan pusat beli-belah Jem semasa sedang cuti sakit.

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki didakwa dedah orang lain kepada risiko COVID-19; cuti sakit tapi ke Jem & Giant

Pusat beli-belah JEM dan Giant di Lorong 4 Toa Payoh. (Gambar: Google Street View dan Mark Marcus Ramos)

Diterbitkan : 05 Jul 2021 01:45PM Dikemas Kini : 05 Jul 2021 01:49PM

SINGAPURA: Dua lelaki didakwa hari ini (5 Jul) dalam dua kes berasingan, mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan COVID-19 kerana mengunjungi tempat-tempat seperti pasar raya Giant dan pusat beli-belah Jem semasa sedang cuti sakit.

Zac Leow Zhi Xiang, 34 tahun, dikenakan satu tuduhan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan meskipun dia ada sebab untuk mengesyaki dirinya dijangkiti COVID-19 pada Mac tahun lalu.

Dia dituduh mengunjungi di beberapa tempat antara 27 Mac dengan 31 Mac tahun lalu selepas didiagnosis dengan gejala pernafasan akut dan diarah duduk di rumah selama lima hari.

Menurut kertas tuduhan, Leow gagal pulang ke rumah sejurus selepas meninggalkan klinik di Circuit Road.

Sebaliknya, dia didakwa bertemu dengan seorang teman di Bedok sebelum ke Pasar ABC di Jalan Bukit Merah dan kemudian ke pusat beli-belah Jem di Jurong sebelum mengunjungi rumah ibunya di Jurong West.

Pada 28 Mac 2020, dia didakwa meninggalkan rumah untuk ke Pusat Makanan Boon Lay Place sebelum mengunjungi rumah ibunya lagi. Pada keesokan harinya pula, dia didakwa ke Pasar dan Pusat Penjaja Yuhua sebelum ke Pusat Makanan Boon Lay Place dan ke rumah ibunya.

Leow juga dituduh pergi ke tempat kerja di JT International Singapore di Alexandra Technopark pada 30 Mac 2020 walaupun masih cuti sakit. Dia didakwa mengulangi kesalahan itu pada hari seterusnya.

Lelaki kedua, Putra Aly Qanafiyah Ibni Rossly, 24 tahun, dikenakan empat tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit dan Peraturan 2020 Penyakit Berjangkit (Perintah Jangan Keluar-COVID-19).

Menurut dokumen-dokumen mahkamah, Putra diberitahu oleh seorang doktor pada 2 Februari 2021 bahawa dia dijangkiti masalah pernafasan akut. Dia diarah menjalani ujian swab COVID-19 dan diberi cuti sakit yang memerlukannya duduk di rumah selama empat hari hingga 5 Februari, 2021.

Meskipun dia mempunyai sebab untuk mengesyaki dirinya adalah kes atau pembawa jangkitan COVID-19, Putra didakwa mendedahkan risiko jangkitan kepada orang lain dengan berjalan dari klinik di Toa Payoh ke pasar raya Giant di Blok 181 Lorong 4 Toa Payoh.

Putra juga dituduh pergi ke tempat kerja sepanjang tiga hari selepas itu meskipun dia dikehendaki duduk di rumah sewaktu cuti sakit.

Leow dan Putra dijadual mengaku bersalah pada Ogos nanti. Bagi setiap tuduhan, mereka boleh dijel sehingga enam bulan, didenda sehingga $10,000 atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan