2 lelaki diberkas; serang wanita guna pisau lipat di Jurong West
Dua lelaki diberkas kerana disyaki menyerang seorang wanita dengan menggunakan pisau lipat di Jurong West.

Gambar hiasan.
SINGAPURA: Dua lelaki diberkas kerana disyaki menyerang seorang wanita dengan menggunakan pisau lipat di Jurong West.
Dalam kenyataannya, pihak polis menyatakan bahawa ia dimaklumkan tentang kes tersebut yang berlaku di sebuah perhentian bas berdekatan Blok 501 Jurong West Street 51 pada sekitar 2.45 petang pada Isnin (19 Nov).
Dua suspek berkenaan sudah melarikan diri ketika para pegawai polis tiba di tempat kejadian. Mangsa, yang mengalami luka di muka dan pelecetan di lengannya, memberitahu polis bahawa beliau diserang dengan pisau lipat oleh para suspek.
Wanita berkenaan dikejarkan ke hospital untuk dirawat.
Para pegawai dari Divisyen Polis Jurong mengenal pasti para suspek, yang kedua-duanya berusia 30 tahun, hasil siasatan yang dijalankan dan gambar-gambar yang dipetik kamera-kamera polis.
Bersama dengan para pegawai daripada Komand Operasi Khas, dua lelaki diberkas pada sekitar 9.00 malam di Jurong West Street 42. Sebilah pisau turut dirampas.
Kedua-dua suspek akan didakwa di mahkamah hari ini (21 Nov) kerana bersubahat dan sengaja mengakibatkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda, dirotan atau gabungan hukuman-hukuman ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.