2 lelaki diberkas kerana guna wang kertas palsu Siri Orkid bernilai S$10,000
Dua lelaki diberkas kerana disyaki terlibat dalam penggunaan wang kertas S$10,000 Siri Orkid yang palsu, menurut polis pada Sabtu (24 Ogos).

Wang palsu bersama-sama dua kemeja-T, resit, tiga telefon bimbit dan wang tunai berjumlah S$ ,200 dirampas polis. (Gambar: SPF)
SINGAPURA: Dua lelaki diberkas kerana disyaki terlibat dalam penggunaan wang kertas S$10,000 Siri Orkid yang palsu, menurut polis pada Sabtu (24 Ogos).
Polis menyatakan pihaknya menerima aduan pada Selasa daripada seorang mangsa yang mendapati sekeping wang kertas S$10,000, yang dibelinya daripada seorang penjual online, adalah palsu.
Para pegawai kemudian mengenal pasti identiti kedua-dua suspek, berusia 34 dan 55 tahun, dan menangkap mereka pada Khamis.
Berdasarkan siasatan awal, suspek berumur 34 tahun itu dipercayai membeli wang kertas palsu S$10,000 daripada seorang lelaki tidak dikenali di Batam, Indonesia. Dia dan suspek berusia 55 tahun itu kemudian menjualnya kepada mangsa pada harga S$11,500.
Wang kertas palsu itu dirampas sebagai bahan bukti kes, bersama-sama dua kemeja-T, resit, tiga telefon bimbit dan wang tunai bernilai S$1,200, menurut polis. Siasatan masih dijalankan.
Jika didapati bersalah menggunakan wang palsu sebagai mata wang tulen, kedua-dua suspek boleh menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun selain didenda.

Wang Siri Orkid mula diperkenalkan pada 1967 dan merangkumi sembilan denominasi, menurut laman web Penguasa Kewangan Singapura MAS). Wang tersebut memaparkan gambar orkid di bahagian depan dan landskap Singapura di sebelah belakangnya. Edisi Siri itu dihentikan pada 1976.
"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berjaga-jaga dan memeriksa wang kertas S$10,000 Siri Orkid kerana ia tidak biasa digunakan mahupun diedarkan," menurut polis pada Sabtu (24 Ogos).
Sejak beberapa bulan lalu, terdapat kes-kes melibatkan penggunaan wang palsu dengan pihak polis menasihati orang ramai supaya terus berwaspada setelah wang kertas S$100 dan S$50 palsu digunakan di kedai serbaneka, restoran serta kedai runcit.
Masyarakat awam juga dinasihatkan supaya membuat aduan polis sekiranya mereka menerima wang yang disyaki palsu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.