Skip to main content

Singapura

2 lelaki diberkas di China kerana menyamar sebagai pegawai, ada-adakan penculikan; hampir S$450,000 lesap

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki diberkas di China kerana menyamar sebagai pegawai, ada-adakan penculikan; hampir S$450,000 lesap

Tangkapan skrin daripada video yang menunjukkan penculikan yang diada-adakan. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

SINGAPURA: Dua lelaki berusia 21 dan 25 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan penyamaran sebagai pegawai China yang melibatkan penculikan yang diada-adakan.

Demikian menurut polis pada Sabtu (20 Jan).

Dua mangsa dalam kes terbabit rugi hampir S$450,000 angkara kes penipuan tersebut, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media.

Pada Rabu, polis menerima dua laporan berasingan tentang seorang wanita berusia 19 tahun dan seorang lelaki berusia 21 tahun yang didakwa diculik.

Ibu bapa mangsa tersebut, yang berpangkalan di China, telah menerima video mangsa diikat, dengan permintaan wang tebusan daripada orang yang tidak dikenali yang bertutur dalam bahasa Mandarin.

Ibu bapa mangsa tersebut dihubungi rakan-rakan mereka di Singapura, yang kemudian melaporkan insiden itu kepada pihak polis. Polis menjejaki mangsa tersebut dan mendapati bahawa mereka telah menjadi mangsa kepada kes penipuan penyamaran sebagai pegawai China.

Dalam kes pertama itu, mangsa wanita berusia 19 tahun terbabit menerima panggilan yang tidak diminta pada 31 Oktober, kononnya daripada pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA). Dia kemudian dirujuk kepada seorang lagi penipu yang mendakwa dirinya seorang pegawai polis dari China.

Pegawai itu mendakwa bahawa butiran mangsa telah digunakan untuk mendaftar kad perbankan, yang melibatkan kegiatan pengubahan wang haram di China.

Dia kemudian diberitahu bahawa untuk mengelak pemberkasan dan pengusiran, dia perlu menyerahkan wang untuk ikat jaminnya dan bagi menghuraikan kes itu. Secara keseluruhan, dia memindahkan lebih S$230,000 ke akaun bank "Polis China", menurut SPF.

Mangsa tersebut juga membuat laporan kepada "Polis China" menerusi panggilan video di telefon bimbitnya sebanyak lima kali sehari, sebagai sebahagian daripada siasatan yang kononnya sedang dijalankan.

Pada awal Januari, penipu tersebut memintanya membantu dalam siasatan tersebut dengan merakam video dirinya diikat dan berpura-pura telah ditangkap. Dia memberitahu video tersebut akan digunakan untuk meningkatkan kesedaran berhubung kes penipuan.

Penipu tersebut mengatur agar rakaman video itu dikendalikan oleh suspek berusia 25 tahun terbabit, yang melakonkan adegan penculikan di mana dia mengacu sebilah pisau kukri terhadap mangsa wanita itu semata-mata untuk memastikan video tersebut kelihatan lebih meyakinkan.

Kira-kira seminggu kemudian, penipu tersebut disuruh mangsa wanita itu untuk memencilkan dirinya dalam sebuah rumah selamat yang diatur lelaki berusia 25 tahun itu dan berhenti berhubung dengan orang lain, termasuk ibu bapanya, bagi mengendalikan siasatan.

Dalam kes kedua pula, mangsa lelaki berusia 21 tahun itu menerima panggilan tanpa diminta pada awal November, yang juga kononnya dibuat oleh seorang pegawai ICA. Mangsa itu diberitahu bahawa dia mempunyai nombor telefon bimbit China yang dikaitkan dengan penyebaran khabar angin berkaitan COVID-19 di China.

Dia seterusnya dirujuk kepada seorang penipu yang mendakwa sebagai seorang pegawai polis dari China, yang menuduhnya atas kegiatan pengubahan wang haram.

Seperti kes pertama itu, mangsa lelaki tersebut juga membuat laporan kepada "Polis China" menerusi mesej dan panggilan video di satu aplikasi kiriman mesej di telefon bimbitnya lima kali sehari bagi membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Mangsa lelaki itu kemudian diarahkan untuk memindahkan sekitar S$215,000 ke akaun bank yang disediakan penipu itu di bawah dalih bahawa ia adalah bagi ikat jamin.

Pada awal Januari, penipu tersebut juga meminta mangsa lelaki itu untuk merakam dirinya diikat dan berpura-pura telah ditangkap, sebagai sebahagian daripada pendidikan mengenai kes penipuan.

Suspek berusia 25 tahun itu mengendalikan kejadian penculikan yang diada-adakan itu dengan mengacu sebilah pisau kukri terhadap mangsa lelaki itu dan meminta wang tebusan. Mangsa itu dilihat dengan kesan lebam di seluruh badannya.

Penipu tersebut kemudian memberitahu mangsa lelaki itu untuk memencilkan dirinya dalam sebuah rumah selamat, yang disewa suspek berusia 21 tahun itu, di mana dia akhirnya ditemui.

Kedua-dua mangsa tersebut tidak mengetahui bahawa penipu tersebut telah menghantar video yang kononnya dirakam atas tujuan pendidikan berhubung kes penipuan, kepada ibu bapa mereka untuk meminta wang tebusan.

Siasatan awal mendedahkan bahawa kedua-dua lelaki itu bertindak atas arahan penipu untuk menempah dan menyewa unit bagi mangsa tersebut. Mereka juga dipercayai menukar telefon bimbit mangsa dengan telefon bimbit dan kad SIM baharu supaya mangsa tidak dapat dihubungi oleh sesiapa kecuali penipu.

Barang kes seperti kukri dan tali yang digunakan dalam video tersebut dirampas. Siasatan polis ke atas kes-kes berkenaan masih dijalankan.

Polis mengingatkan orang awam bahawa agensi penguatkuasaan undang-undang asing tidak mempunyai bidang kuasa di Singapura. Mereka tidak boleh menjalankan operasi, memberkas sesiapa atau meminta bantuan tanpa kelulusan daripada pemerintah Singapura.

SPF menekankan bahawa pihaknya memandang serius terhadap sesiapa yang terlibat dalam kes penipuan sedemikian, sama ada secara sedar atau tidak sengaja, dan mereka akan ditangani dengan tegas, mengikut undang-undang.

Mereka yang didapati bersalah menipu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Mereka yang didapati bersalah memiliki senjata boleh berdepan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sekurang-kurangnya enam sebatan rotan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita