2 lelaki diberkas curi wang tunai S$600,000 dari kedai di Marsiling Lane
Dua lelaki ditangkap kerana didakwa mencuri S$600,000 dari sebuah kedai di Marsiling Lane, menurut polis dalam kenyataan medianya pada Jumaat (22 Nov).

(Gambar hiasan: Mediacorp)
SINGAPURA: Dua lelaki ditangkap kerana didakwa mencuri S$600,000 dari sebuah kedai di Marsiling Lane, menurut polis dalam kenyataan medianya pada Jumaat (22 Nov).
Polis menyatakan mereka menerima aduan pada sekitar 9.30 malam, 16 November, setelah satu bilik di tingkat dua sebuah kedai di Blok 18 Marsiling Lane dipecah masuk.
Wang tunai S$600,000 didapati lesap.
Ekoran pertanyaan dan siasatan di tempat kejadian, para pegawai dari Balai Polis Divisyen Woodlands mengenal pasti dua suspek berkenaan.
Seorang lelaki berusia 50 diberkas pada hari yang sama manakala seorang lagi lelaki berumur 62 tahun ditangkap pada Jumaat.
Suspek berusia 62 tahun itu didakwa pada 18 November atas kesalahan pecah masuk dan mencuri di malam hari dengan niat yang sama. Sementara itu, suspek berumur 50 tahun akan didakwa pada Sabtu (23 Nov) dengan kesalahan yang sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-duanya berdepan dengan hukuman penjara antara dua hingga 14 tahun berserta denda.
Polis menasihati pemilik hartanah supaya mengambil langkah-langkah pencegahan jenayah seperti memasang jeriji pada semua pintu, tingkap dan mana-mana ruang terbuka serta mangga kuat.
Pemilik hartanah juga harus elak daripada menyimpan wang tunai berjumlah besar di dalam premis komersil.
Alat penggera, lampu sensor pergerakan dan kamera litar tertutup (CCTV) harus dipasang dan sekali-sekala diuji, tambah polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.