Skip to main content

Singapura

2 lelaki bersubahat dengan dalang jenayah siber di SG dijel 14 minggu beli data 9,369 orang

Anggaran Waktu Membaca:
  2 lelaki bersubahat dengan dalang jenayah siber di SG dijel 14 minggu beli data 9,369 orang

Seow Gim Shen (kiri) dan Kong Chien Hoi meninggalkan Mahkamah Negara pada 24 Okt 2024. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

Diterbitkan : 25 Oct 2024 05:14PM Dikemas Kini : 25 Oct 2024 05:15PM
SINGAPURA: Dua ahli perniagaan Malaysia yang bersekongkol dengan individu yang dipercayai penjenayah siber dari China untuk membeli data peribadi lebih 9,300 orang, dipercayai dicuri daripada laman perjudian, dijatuhi hukuman penjara 14 minggu setiap seorang pada Rabu (24 Okt).

Penduduk Pulau Pinang Seow Gim Shen, 42 tahun, dan ahli perniagaan dari Selangor Kong Chien Hoi, 39 tahun mengaku bersalah atas satu tuduhan bersubahat dengan seorang warga China Sun Jiao untuk memperoleh maklumat peribadi 9,369 individu tidak dikenali.

Pihak pendakwaan memohon bagi hukuman penjara enam bulan setiap seorang, namun peguam bela meminta denda S$1,000 setiap seorang.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Christopher Goh menarik perhatian kepada jumlah maklumat peribadi yang terlibat dan menerima bahawa hanya sepertiga butiran peribadi tersebut yang "masih aktif".

Beliau berkata data itu dibayar, dan terdapat rundingan lanjut untuk memperoleh lebih banyak data, meskipun ia tidak menjadi kerana Sun ditangkap.

Hakim berpandangan bahawa sebab untuk memperoleh maklumat tersebut - bagi perjudian online jarak jauh - sebagai faktor yang memburukkan keadaan, sambil menambah beliau tidak melihatnya sebagai sekadar satu urus niaga perniagaan.

Beliau mempertimbangkan juga ciri rentas negara kesalahan tersebut, memandangkan Sun menetap di Singapura ketika memberikan data kepada Seow dan Kong, yang tidak berada di Singapura.

Sekalipun demikian, beliau berkata kes itu kurang serius jika dilihat dari perspektif yang lebih besar berbanding jika ia melibatkan Singpass, NRIC atau butiran kad kredit.

Maklumat yang diperolehi termasuk nama dan nombor telefon warga Thailand.

Seow dan Kong dibenarkan menangguhkan hukuman mereka sementara mereka mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan.

RENTETAN KES

Seow diperkenalkan kepada Sun, 42 tahun, oleh seorang warga China pada 2019 di sebuah kasino di Kemboja.

Dia diberitahu bahawa Sun mengendalikan pangkalan data maklumat peribadi dan boleh menjualnya kepada sesiapa yang terlibat dalam operasi perjudian.

Seow kemudian memperkenalkan Sun kepada rakannya Kong, kerana dia tahu Kong ada klien yang mengendalikan operasi perjudian online.

Dua lelaki Malaysia itu tidak mengetahui bahawa Sun menetap di Singapura atau perniagaan yang dikendalikan.

Sun dipercayai merupakan sebahagian daripada sindiket jenayah siber global berpangkanlan di Singapura, yang dikendalikan oleh penjenayah warga China yang beroperasi dari sebuah banglo yang disewa di Mount Sinai, dengan mangsanya dipercayai dari negara-negara seperti India dan Korea.

Kong, Seow dan Sun kemudian berkongsi mengenai satu kumpulan sembang bernama "Malaysian Data” untuk Sun dan Kong merundingkan penjualan maklumat peribadi yang diperolehi secara haram.

Selepas Kong meminta untuk membeli maklumat peribadi warga Thailand, Sun berkata dia ada maklumat lebih sejuta warga Thailand.

Kong kemudian meminta sampel, dengan niat untuk menggunakan data tersebut bagi satu operasi perjudian online.

Sun mengirimkan satu fail kepada Kong dan Seow pada 24 Julai melalui WhatsApp, mengandungi maklumat peribadi lebih 9,000 orang termasuk nama dan nombor telefon mereka.

Fail itu merupakan sampel yang diambil daripada pangkalan data lebih besar dan sebahagian daripada rundingan bagi penjualan pangkalan penuh data.

Kong mendapatkan bantuan seeorang rakan niaga untuk menguji data tersebut. Laporan terperinci menunjukkan 34 peratus daripada 2,000 nombor itu boleh dihubungi. Satu SMS yang dihantar kepada 9,369 nombor menunjukkan 32 peratus SMS berjaya dihantar.

Kong kemudian menghantar keputusan laporan kepada Sun menerusi kumpulan sembang dan merundingkan harga, termasuk mendapatkan lebih banyak data. Kong berkata dia juga memerlukan maklumat peribadi penduduk Malaysia, Thailand dan Vietnam dan meminta Sun memaklumkan kepadanya berapa banyak nombor telefon yang boleh diberikan.

Pada 13 September, Kong memindahkan 20,000 USD matawang kripto (sekitar S$26,200) kepada Sun untuk membayar bagi pangkalan data penuh lebih sejuta orang.

Bagaimanapun, dua warga Malaysia itu tidak menerima data tersebut, memandangkan Sun sudah ditangkap.

Sekitar 160 pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah menjalankan serbuan serentak di merata negara pada 9 September, memberkas enam lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket "pengendali siber berniat jahat global", menurut mahkamah.

Sun ditangkap di sebuah kondominium di Bidadari Park Drive. Dia memiliki sebuah komputer riba mengandungi program komputer yang boleh digunakan dalam serangan siber.

Siasatan polis forensik menjumpai kumpulan sembang WhatsApp bagi data rakyat Malaysia, yang dimiliki Kong dan Seow.

Pada 21 September, dua warga Malaysia itu memasuki Singapura untuk menyaksikan Grand Prix dan diberkas dua hari kemudian apabila mereka cuba untuk meninggalkan negara ini.

Sun direman dan masih menunggu untuk dibicarakan.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita