Skip to main content

Singapura

2 lelaki akan didakwa di SG atas kesalahan penipuan selepas diekstradisi dari Thailand, Kemboja

Anggaran Waktu Membaca:
2 lelaki akan didakwa di SG atas kesalahan penipuan selepas diekstradisi dari Thailand, Kemboja
Dua lelaki ditangkap pada 11 November 2025, selepas diekstradisi dari Thailand dan Kemboja ke Singapura, kerana disyaki terlibat dalam operasi penipuan rentas negara dan kesalahan kegiatan keldai wang. (Gambar: SPF)
Diterbitkan : 13 Nov 2025 10:35AM Dikemas Kini : 13 Nov 2025 10:36AM
SINGAPURA: Dua lelaki akan didakwa pada Khamis (13 Nov) selepas diekstradisi dari Thailand dan Kemboja atas kesalahan penipuan.

Lelaki-lelaki tersebut, kedua-duanya berusia 44 tahun, dipercayai terlibat dalam operasi penipuan rentas negara dan kesalahan kegiatan keldai wang (money mule), menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis.

Lelaki pertama ditangkap oleh Polis Diraja Thailand semasa serbuan di Bangkok.

SPF menyatakan bahawa dia didakwa menjadi sebahagian daripada sindiket rentas negara, yang dipercayai pihak berkuasa sedang mengendalikan pusat penipuan di Myanmar.

Pusat tersebut didakwa melakukan penipuan penyamaran pegawai pemerintah yang menyasarkan rakyat Singapura.

"Siasatan awal mendedahkan bahawa lelaki itu telah pergi ke Myanmar dan terlibat dalam kerja pentadbiran di pusat penipuan sebelum melarikan diri ke Thailand selepas pusat penipuan itu diserbu oleh pihak berkuasa Myanmar," menurut SPF.

"Selain daripada pelibatan lelaki itu dalam sindiket penipuan luar negara, dia didakwa menyerahkan akaun bank peribadinya di Singapura, yang membolehkan sindiket jenayah memindahkan dana yang mencurigakan menggunakan akaun tersebut."

Lelaki itu diekstradisi dari Thailand dan ditangkap sebaik sahaja dia tiba di Singapura pada Selasa.

Dia akan didakwa atas tuduhan bersubahat untuk melakukan akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Lelaki kedua ditangkap oleh polis Kemboja kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan rentas negara yang menjalankan penipuan telekomunikasi dari Krong Bavet, sebuah bandar berhampiran sempadan Kemboja dengan Vietnam.

Siasatan awal mendapati bahawa dia dipercayai berkhidmat sebagai penterjemah bagi sindiket tersebut.

Akaun banknya di Singapura juga dikatakan digunakan untuk menerima dana haram daripada kegiatan penipuan.

Dia juga ditangkap sebaik sahaja tiba di Singapura pada Selasa.

Lelaki kedua itu akan didakwa atas kesalahan bersubahat dengan konspirasi untuk menipu dan memiliki harta yang disyaki secara munasabah sebagai faedah daripada kelakuan jenayah.

Kesalahan menipu membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa yang sabit kesalahan memiliki harta yang disyaki secara munasabah sebagai faedah daripada kelakuan jenayah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$150,000 atau kedua-duanya sekali.
Dua lelaki diekstradisi dari Thailand dan Kemboja ke Singapura pada 11 November 2025, disyaki terlibat dalam operasi penipuan rentas negara dan kesalahan kegiatan keldai wang. (Gambar:SPF)
Kes penipuan penyamaran pegawai pemerintah meningkat hampir tiga kali ganda pada separuh pertama 2025, naik sebanyak 199.2 peratus kepada 1,762 kes, menurut polis.

Jumlah ini meningkat daripada 589 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Jumlah kerugian bagi jenis penipuan ini meningkat sebanyak 88.3 peratus kepada sekitar S$126.5 juta pada separuh pertama 2025, daripada kira-kira S$67.2 juta bagi tempoh yang sama pada 2024," tambah SPF.

Selain mengambil tindakan terhadap keldai wang tempatan, SPF menyatakan bahawa ia kini bekerjasama dengan rakan penguatkuasaan undang-undang antarabangsa untuk mengenal pasti, menyasarkan dan mengganggu pengendali pusat penipuan.

"SPF telah dimaklumkan tentang dua lelaki Singapura yang berjaya ditangkap, yang mengendalikan pusat penipuan di Asia Tenggara melalui kerjasama berterusan dan perkongsian risikan dengan rakan penguatkuasaan undang-undang antarabangsa," katanya.

Kes-kes ini menunjukkan taktik yang sentiasa berubah oleh sindiket penipuan rentas negara yang melibatkan rakyat Singapura, kata pengarah Jabatan Ehwal Komersial (CAD) David Chew.

"Ia juga menggambarkan perkongsian yang kukuh dengan rakan serantau kami, termasuk Biro Siasatan Pusat Polis Diraja Thailand dan Polis Kebangsaan Kemboja, untuk mengenal pasti, mengejar dan menangkap penjenayah yang terlibat dalam operasi penipuan," katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita