Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lagi kanak-kanak alami hepatitis akut dikenal pasti, dedah MOH

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Siasatan tinjau balik oleh Kementerian Kesihatan (MOH) mendedahkan dua lagi kes hepatitis akut yang puncanya tidak diketahui. Ia dikesan pada dua kanak-kanak, berusia tiga tahun dan lapan tahun, yang mengalami penyakit tersebut masing-masing pada Oktober dan November 2021. 

Ujian makmal mengenal pasti bahawa kedua-dua kes ini diuji negatif bagi virus hepatitis biasa. 

Kedua-dua kanak-kanak tersebut tidak mempunyai sejarah COVID-19 sebelum mengalami hepatitis akut dan mereka terus menjalani rawatan susulan, menurut MOH. 

Secara berasingan, dalam satu kemas kini tentang kes melibatkan seorang bayi berusia 10 bulan yang didapati mengalami hepatitis akut pada bulan lalu, MOH menyatakan bayi lelaki itu sudahpun dibenarkan pulang dan kini dalam keadaan sihat. 

Punca hepatitis, juga dikenali sebagai keradangan hati, "masih belum dapat ditentukan". 

Pada 25 April, bayi itu dimasukkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) untuk siasatan lanjut. MOH dimaklumkan tentang kes tersebut empat hari kemudian. 

Menyusuli amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kes-kes hepatitis akut dengan punca yang tidak diketahui dalam kalangan kanak-kanak kecil, MOH mengambil langkah-langkah untuk menentukan sama ada kes budak lelaki berkenaan serupa dengan yang dikesan di seluruh dunia. 

Semua hospital yang mempunyai khidmat pediatrik diminta untuk memeriksa rekod pesakit masing-masing bagi mencari pesakit yang membentangkan kes serupa seperti dilaporkan WHO, menurut MOH. 

Berikutan itu, kanak-kanak berusia tiga tahun dan lapan tahun berkenaan dikenal pasti. 

"Hepatitis dalam kalangan kanak-kanak kecil bukanlah perkara luar biasa dan tidak mustahil bagi punca sesetengah kes hepatitis pada kanak-kanak kekal tidak diketahui," terang MOH. 

MOH menambah tiada peningkatan atau corak luar biasa yang diperhatikan pada jumlah kanak-kanak yang mengalami hepatitis tanpa diketahui puncanya. 

"Kami akan terus memantau rapi situasi dan sudahpun memaklumkan semua pengamal perubatan untuk berwaspada terhadap kanak-kanak kecil yang menunjukkan tanda-tanda dan simptom-simptom hepatitis yang mana puncanya tidak boleh dikenal pasti." 

Kes-kes pertama hepatitis akut dengan punca yang tidak diketahui dikesan di hospital Alabama pada Oktober 2021 apabila lima pesakit dimasukkan ke hospital dengan kerosakan pada bahagian hati. 

Sejak itu, kes serupa dilaporkan di beberapa negara termasuk Jepun, Indonesia, United Kingdom, Sepanyol dan Perancis. 

Kebanyakan kanak-kanak yang terjejas berusia 10 tahun dan ke bawah, dengan yang paling kecil adalah seorang bayi berusia sebulan. 

Gejala-gejala biasa yang dialami termasuk sakit pada bahagian perut, cirit-birit dan muntah, diikuti dengan penyakit kuning di mana kanak-kanak akan mengalami kulit atau bahagian putih mata bertukar menjadi kekuningan.

Kanak-kanak yang terjejas juga mungkin berasa lelah, kehilangan selera makan, membuang air kecil yang gelap warnanya, najis berwarna cerah serta sakit sendi.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan