Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 lagi buku dokumentasi sejarah Geylang Serai dilancarkan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dari perniagaan pakaian tradisional hinggalah ke gerai-gerai makanan!

Itulah antara jenis perniagaan yang mewarnai kawasan Geylang Serai dari awal abad ke-19 lagi.

Kisah-kisah di sebalik syurga membeli-belah bagi masyarakat Melayu itu disingkap dalam buku terbaru yang dilancarkan di bawah usaha Projek Kebudayaan Kawasan Geylang Serai.

Ini termasuk kedai songkok Haji Wahab Abdullah, kedai karipap Onan Road dan Toko Buku Haji Hashim.

Buku dwibahasa 'Gelanggang Perniagaan Orang Melayu' ini juga diharap dapat membawa para pembaca mengimbau kembali nostalgia berbelanja di Geylang Serai.

"Sekarang keadaan Geylang Serai banyak berubah tetapi dari segi kepesatannya menurut kajian dan pengalaman, saya mendapati bahawa memang corak perniagaan di Geylang Serai termasuk oleh peniaga Melayu memang pesat pada masa itu," kata pengarang buku itu, Dewani Abbas.

Sebuah lagi buku iaitu yang ketiga dalam siri lima buku ini turut dilancarkan.

Berjudul 'Menyusuri Alur Kenangan', buku itu memberi gambaran dan kisah-kisah di sebalik nama-nama jalan dan tempat-tempat menarik di kawasan itu seperti Jalan Ambo Solo dan Lorong Engku Aman.

Ini menerusi perkongsian penduduk di kawasan-kawasan itu sendiri.

Penulis buku tersebut, Djohan Abdul Rahman menceritakan keghairahan mereka sewaktu proses penyelidikan beliau untuk buku itu.

"Apabila mereka berkongsi pengalaman mereka kepada saya itu, saya sendiri dapat merasakan kegembiraan, bukan saya seorang sahaja, ramai lagi orang yang lalui pengalaman yang saya lalui sebagai contoh masuk ke lorong-lorong di Pasar Geylang Serai," ujarnya.

Sebanyak 500 naskhah buku ini akan diedarkan di perpustakaan-perpustakaan awam Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan lagi 800 ke sekolah-sekolah.

Ini menyusuli maklum balas dan sambutan memberangsangkan bagi buku pertama siri ini yang dilancarkan September lalu.
Penasihat projek ini, Dr Maliki Osman berharap buku ini dapat dijadikan sebagai bahan rujukan buat generasi muda dan generasi seterusnya mengenali sejarah Geylang Serai dengan lebih mendalam lagi.

"Saya harap penerbitan buku ini akan memberi rangsangan baru kepada anak-anak muda kita untuk memahami sejarah Geylang Serai dan menghargai apa yang kita hadapi pada masa lampau," jelas Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman.

Dua buku terakhir dalam siri ini masih lagi dalam proses penerbitannya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan