Skip to main content

Singapura

2 kuda terlepas dari kandang di Pasir Ris

Anggaran Waktu Membaca:
2 kuda terlepas dari kandang di Pasir Ris
Salah seekor kuda yang terlepas dilihat berdekatan Costa Grove pada 3 Mac 2026. (Gambar: CNA Reader)
Diterbitkan : 03 Mar 2026 06:43PM Dikemas Kini : 03 Mar 2026 07:25PM
SINGAPURA: Dua ekor kuda yang terlepas dan dilihat berlari di jalan raya di Pasir Ris pada Selasa (3 Mac) berjaya dikawal dan selamat kembali ke kandang masing-masing.

Polis menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan meminta bantuan mengenai dua ekor kuda di Elias Road pada sekitar pukul 11.20 pagi.

"Pegawai kami segera bertindak dan bekerjasama dengan kakitangan kandang kuda untuk mengawal kuda-kuda tersebut dengan selamat," menurut polis.

"Kuda-kuda itu kemudian dipulangkan ke kandang masing-masing tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini."

Dalam satu video yang dilihat oleh Mediacorp, seekor kuda putih dilihat di Pasir Ris Drive 3 dan diikuti oleh kenderaan yang memandu secara berhati-hati.

Kuda tersebut kemudian membelok ke kiri dan berlari di bawah tempat menurunkan penumpang di sebuah blok HDB.

Ia kemudian meninggalkan kawasan tersebut dan berlari dengan perlahan di atas rumput bersebelahan kaki lima, menuju semula ke arah Elias Road.

Dalam satu lagi video, seekor kuda berwarna coklat dilihat melintasi persimpangan lampu isyarat antara Pasir Ris Drive 3 dengan Elias Road sambil diperhatikan oleh pemandu.

Gallop Stable di Pasir Ris mengesahkan kejadian itu.

"Dua daripada kuda kami bercadang untuk meneroka kawasan kejiranan, tetapi kami gembira untuk memaklumkan bahawa mereka kini sudah selamat pulang, dalam keadaan tenang dan sihat," menurut Gallop Stable dalam catatannya di Instagram.

"Terima kasih kepada semua yang membantu memerhatikan mereka."

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) menyatakan bahawa pihaknya maklum mengenai kejadian tersebut dan sedang menjalankan siasatan.

"Jika orang awam terserempak dengan kuda, mereka harus kekal tenang dan jangan sesekali cuba mendekati atau mengejar haiwan tersebut," menurut AVS.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita