Skip to main content

Singapura

2 kucing dalam flat? Kumpulan kebajikan haiwan sokong langkah AVS tetapi gesa kembiri dikuatkuasakan, pemilikan 'bertanggungjawab'

Anggaran Waktu Membaca:
 2 kucing dalam flat? Kumpulan kebajikan haiwan sokong langkah AVS tetapi gesa kembiri dikuatkuasakan, pemilikan 'bertanggungjawab'

Gambar fail. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 05 Dec 2023 10:17AM
SINGAPURA: Cadangan untuk membenarkan dua ekor kucing bagi setiap flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mendapat respons bercampur-campur, dengan beberapa mengalu-alukan cadangan itu dan yang lain menimbulkan kebimbangan mengenai bunyi bising dan potensi konflik antara jiran.

Buat masa ini, penduduk HDB tidak dibenarkan membela kucing peliharaan, dan pesalah boleh didenda sehingga S$4,000 di bawah Peraturan (Haiwan)Perumahan dan Pembangunan.

Beberapa orang yangditemui Mediacorp menegaskan bahawa larangan sekarang ini terhadap kucing tidak dikuatkuasakan, dan terdapat kes banyak kucing peliharaan di flat HDB.

Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Tan Kiat How pada Sabtu (2 Dis) mendedahkan rangka kerja pengurusan kucing yang dicadangkan yang membolehkan isi rumah HDB memiliki sehingga dua ekor kucing bagi setiap flat.
Orang ramai boleh memberikan maklum balas mereka mengenai cadangan yang diusulkan itu menerusi satu tinjauan online selama dua bulan sehingga 1 Feb 2024, kata Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS sebelum ia dilaksanakan pada separuh kedua 2024.

RESPONS BERCAMPUR-CAMPUR

Seorang paderi Lorna Khoo, 67 tahun, berkata sudah tiba masanya kucing dibenarkan dalam flat HDB.

“Saya sangat menyokong (cadangan itu). Ia sepatutnya dibenarkan sejak lama dahulu,” katanya kepada Mediacorp. Dr Khoo yang sudah bersara berkata haiwan peliharaan adalah teman yang baik untuk orang tua di Singapura, dan anggota masyarakat Melayu Islam tidak boleh memelihara anjing.

"Selagi kucing mereka dipasang mikrocip, ada kebertanggungjawaban," katanya.

Penyelamat kucing Steven Tor, 62 tahun, bagaimanapun berkata beliau bimbang cadangan itu akan memburukkan lagi isu pengabaian dan penderaan haiwan peliharaan sedia ada.

“Semua kucing perlu dikembiri untuk menghentikan pembiakan dan ini mesti (dijadikan) wajib bagi mereka yang ingin memiliki kucing. Namun, ini tidak dilakukan,” katanya.

Encik Tor, yang bekerja sendiri, berkata banyak kucing dibuang apabila ia mengalami masalah kesihatan atau apabila pemiliknya bosan menjaganya - dan ini nampaknya tidak ditangani dalam cadangan untuk membenarkan kucing di flat.

Cadangan itu hanya akan masuk akal jika isu-isu sedia ada dibendung dan diuruskan, katanya. "(Ia) mengenai pemilikan yang bertanggungjawab."

Menurut AVS, pihaknya merancang untuk melancarkan program kembiri dan mikrocip percuma pada tahun hadapan untuk kucing yang dimiliki oleh isi rumah berpendapatan rendah.

Tambahnya, ia akan menganjurkan siri pameran bergerak dan acara untuk mendidik orang ramai mengenai pemilikan kucing yang bertanggungjawab.

Pemilik kucing akan diberikan tempoh peralihan dua tahun untuk memenuhi syarat pelesenan.

Semasa tempoh itu, pemilik kucing boleh mendapatkan lesen secara percuma.

Apabila perubahan berkuat kuasa, memelihara kucing tanpa lesen adalah haram dan pemilik kucing boleh dikenakan denda serupa dengan yang kini diperuntuk bagi pemilik anjing iaitu didenda sehingga $5,000.

Sesetengah orang pula menimbulkan kemungkinan konflik antara jiran.

Persatuan bagi Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) berkata aduan biasa daripada jiran pemilik kucing termasuk memelihara banyak kucing yang membawa kepada bau yang tidak menyenangkan, koridor yang bersepah dengan kotak najis haiwan, mangkuk makanan dan air, dan membenarkan kucing berkeliaran di luar rumah.

Jika kucing dibiarkan membuang najis secara sembarangan ketika berada di luar rumah, ini boleh menyusahkan orang ramai, kata Cik Aarthi Sankar, pengarah eksekutif SPCA. Sangkar kucing juga boleh mengambil ruang di koridor awam, dan kadangkala bertukar menjadi isu kebajikan jika kucing dikurung untuk tempoh yang lama.

KEMBIRI WAJIB

Malah dalam kalangan mereka yang menyokong cadangan itu, terdapat gesaan supaya kembiri diwajibkan.

"SPCA mengalu-alukan cadangan itu, terutamanya kerana kami telah lama menyokong pemilikan kucing di flat HDB dan diadakan peraturan yang lebih formal," kata Cik Sankar.

“Kami juga menggesa pihak berkuasa untuk mempertimbangkan mewajibkan semua kucing peliharaan dikembiri (tanpa mengira bilangan) bagi mengelakkan pembiakan secara tidak sengajakan,” tambahnya.
Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita