Skip to main content

Singapura

2 klinik pakar rawatan wanita & kanak-kanak dibuka di Kampus Kesihatan Woodlands

Golongan wanita dan kanak-kanak di daerah utara Singapura kini mempunyai akses lebih baik bagi mendapatkan jagaan pakar.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 May 2025 09:25PM Dikemas Kini : 15 May 2025 10:15AM
SINGAPURA: Golongan wanita dan kanak-kanak di daerah utara Singapura kini mempunyai akses lebih baik bagi mendapatkan jagaan pakar.

Ini menerusi pembukaan dua klinik baharu di Kampus Kesihatan Woodlands.

Kampus itu merupakan perkongsian antara Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) dengan Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHG).

Ia dirasmikan oleh Menteri Negara Kesihatan Rahayu Mahzam.

Dengan ini, 250,000 wanita dan 107,000 kanak-kanak bawah 18 tahun di daerah utara boleh mendapat manfaat jagaan pakar seperti perbidanan dan sakit puan.

Rawatan bagi kanak-kanak pula termasuk bagi penyakit batuk kronik serta masalah perkembangan dan pertuturan.

"Sebelum klinik ini dibuka, sekitar 7,000 wanita pergi ke Hospital KK, dari daerah ini untuk mendapatkan rawatan perbidanan.

"Lagi 2,000 lebih kanak-kanak juga pergi sejauh Hospital KK untuk mendapatkan rawatan.

"Apa yang kami lakukan kini adalah menjadikan rawatan lebih selesa bagi para penduduk yang tinggal di daerah ini (utara).

"Dengan berbuat demikian kami berharap mereka akan mendapat jagaan lebih baik lagi," kata Pengerusi Lembaga Perubatan di Woodlands Health, Dr Nicholas Chew.

Menurut seorang pesakit di hospital itu, Cik Sri Fairuz Baizuri, beliau berasa amat bimbang selepas mendapat tahu tentang penyakit yang dialaminya dan cuba berjumpa doktor secepat mungkin.

"Saya menjangka dapat janji temu sekitar bulan Mac atau April, tetapi saya agak terkejut apabila mereka memberi saya janji temu pada Januari. Saya dengar bahawa di hospital-hospital lain ia boleh mengambil masa sehingga enam bulan," kata beliau.
Sumber : CNA/DY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita