Skip to main content

Singapura

2 khidmat bas baharu di Tengah & Brickland jelang akhir tahun, 6 lagi pada 2026

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Jun 2025 05:43PM Dikemas Kini : 08 Jun 2025 09:53PM
SINGAPURA: Lapan perkhidmatan bas baharu akan diperkenalkan di estet perumahan Tengah menjelang akhir tahun depan untuk membantu mengurangkan masalah keterhubungan penduduk, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow pada Ahad (8 Jun).

Aduan mengenai kekurangan kemudahan dan pilihan pengangkutan timbul dalam kalangan penduduk terawal Tengah, sebuah bandar HDB baharu di barat Singapura.

Sebagai permulaan, dua perkhidmatan bas baharu akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini. Khidmat 872, yang akan bermula dari Pusat Tukaran Bas Tengah, akan beroperasi di kawasan seperti Tengah Boulevard, Plantation Crescent, Bukit Batok, Jurong Town Hall dan Stesen MRT Chinese Garden. Ia dijadualkan bermula pada 10 Ogos.

Perkhidmatan kedua akan bermula dari Brickland dan melewati Stesen MRT Bukit Panjang dan Jurong East. Maklumat lanjut akan diumumkan pada awal suku keempat.

Menjelang akhir tahun depan, dua khidmat bas ekspres akan disediakan.

Ia termasuk khidmat bas langsung ke kawasan bandar dari Brickland, manakala khidmat bas ekspres kedua dikendalikan oleh syarikat pengendali swasta dari Brickland ke kawasan one-north.

Selain itu, empat khidmat bas pengantara atau feeder ekspres akan disediakan menjelang akhir 2026, yang akan membawa penduduk dari rumah mereka ke stesen MRT berdekatan, seperti Stesen MRT Beauty World, Bukit Gombak, Bukit Batok dan Jurong East.

Encik Siow menghadiri acara keluarga Persatuan Rakyat di Kelab Masyarakat Tengah, di mana beliau bercakap kepada media buat kali pertama sejak menyandang jawatan menteri pengangkutan pada 23 Mei.

Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Encik Chee Hong Tat, yang telah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara.

Encik Siow, yang juga merupakan Anggota Parlimen bagi kawasan Brickland yang merupakan sebahagian daripada Tengah, menyentuh beberapa isu yang dihadapi oleh penduduk Tengah di acara tersebut.

Dalam ucapannya kepada para penduduk di kelab masyarakat itu, Encik Siow berkata bahawa terdapat empat "C" yang pemerintah ingin tangani: tidak cukup kedai kopi, tidak cukup pusat jagaan kanak-kanak, tidak cukup sambungan pengangkutan dan kebimbangan dengan sistem penghawa dingin berpusat di unit HDB mereka.

Beliau berkata bahawa pemerintah "sangat fokus" untuk menangani isu-isu ini, sambil mengatakan bahawa sebuah jawatankuasa pelbagai agensi telah ditubuhkan untuk membantu mereka yang berpindah ke Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baharu.

Beliau berkata bahawa pengerusi jawatankuasa tersebut ialah Menteri Negara Kanan Sun Xue Ling, yang menggalas tugas di kedua-dua Kementerian Pembangunan Negara dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

"Jadi, bersabarlah sedikit, kerana saya tahu kita sedang melakukan perkara-perkara ini semasa penduduk sedang berpindah masuk, dan ia akan menjadi lebih baik tidak lama lagi," katanya.

Pusat Tukaran Bas Tengah dibuka pada 21 Julai tahun lalu. Perkhidmatan bas baharu 871 kemudian diperkenalkan untuk menghubungkan Tengah ke Bukit Batok Barat, Bukit Gombak dan Beauty World.

Dua perkhidmatan bas sedia ada, 992 dan 870, juga dilanjutkan untuk memberi khidmat lebih baik kepada penduduk Tengah.
 
(Keempat dari kanan) Anggota Parlimen Chua Chu Kang Choo Pei Ling, Menteri Pengangkutan Pemangku Jeffre Siow, Anggota Parlimen Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim dan Anggota Parlimen Jurong East-Bukit Batok Lee Hong Chuang pada acara komuniti di Kelab Masyarakat Tengah pada 8 Jun 2025. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
MENGAPA PERKHIDMATAN BAS PRIVET KE ONE-NORTH?

Ditanya kenapa perkhidmatan bas swasta dan bukan perkhidmatan bas awam disediakan untuk membawa penduduk Tengah ke kawasan One-north, Encik Siow berkata bahawa ia adalah antara pilihan yang dipertimbangkan oleh pemerintah untuk menambah baik rangka kerja bas.

"Kami cuba untuk tidak melakukannya secara meluas dan hanya untuk laluan khusus, kerana apabila kami menyediakan terlalu banyak khidmat bas privet, kami menghadapi risiko mengurangkan permintaan untuk rangkaian bas awam," katanya.

Beliau berkata bahawa terdapat laluan tertentu dengan permintaan yang mencukupi di mana pengendali swasta bersedia untuk menyediakan khidmat berkenaan. Namun, bagi pihak pengendali pengangkutan awam, mereka "belum bersedia untuk melakukannya".

"Kami boleh memperkenalkan beberapa laluan ini pada jangka pendek, (dan) jika ia berjalan dengan baik, kami boleh menimbangkan untuk memasukkannya ke dalam rangkaian bas awam pada jangka panjang," katanya.

Tentang mengapa One-North dipilih, Encik Siow berkata bahawa terdapat permintaan daripada penduduk Brickland, kerana ramai daripada mereka bekerja di sana.

"Jadi itulah sebabnya kami memutuskan untuk mencuba dan melihat perkembangannya," katanya.

MENGURANGKAN MASA PERJALANAN PENGANGKUTAN AWAM

Terdapat juga matlamat jangka panjang untuk merapatkan jurang masa perjalanan antara pengangkutan awam dan swasta, terutamanya bagi estet HDB "yang agak jauh dari bandar", kata Encik Siow.

Beliau berkata bahawa walaupun kereta api boleh membawa orang ramai ke bandar dengan cepat, perjalanan ke stesen kereta api memerlukan lebih banyak masa bagi kebanyakan penduduk ini.

"Jika kita boleh cuba melakukannya dengan lebih baik, memudahkan akses dengan hanya berjalan kaki, meningkatkan kepadatan rangkaian bas. Kita dapat mengurangkan masa perjalanan dan menjadikan pengangkutan awam lebih berdaya saing dengan pengangkutan swasta," katanya.

Beliau berkata bahawa pada masa ini, masa perjalanan dari Tengah ke pusat bandar adalah dua hingga tiga kali lebih lama dengan menggunakan pengangkutan awam berbanding pengangkutan swasta, dan beliau berhasrat untuk mengurangkannya kepada satu hingga dua kali lebih lama.

"Dan kita akan melakukannya di seluruh Singapura di estet-estet yang lebih jauh pusat dari bandar. Itu adalah keutamaan saya," katanya.
Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow di acara masyarakat Kelab Masyarakat Tengah pada 8 Jun 2025. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
PENDAPAT TENTANG PEKERJAAN BARU

Ditanya tentang bagaimana beliau menyesuaikan diri dengan peranan barunya sebagai pemangku menteri pengangkutan, Encik Siow berkata bahawa beliau bukan orang asing dalam portfolio pengangkutan.

"Saya sangat teruja, saya memulakan tugas dengan segera, dan kami sedang berusaha untuk memastikan rancangan LTA (Penguasa Pengangkutan Darat) berjalan lancar (dan) untuk terus melakukan tugas kami," katanya.

Encik Siow pernah memegang jawatan penting di MOT, antara lain.

"Peluang kembali bertugas di kementerian ini adalah sangat positif bagi saya," katanya.

"Saya sangat gembira dapat berhubung semula dengan rakan-rakan sekerja lama, dan juga meneruskan tugas menangani isu-isu yang pernah saya kendalikan."

Beliau berkata beliau pernah bekerja dengan kementerian itu dalam projek Laluan Daerah Jurong, yang dirancang untuk beroperasi melalui Tengah menjelang 2028.

"Ketika saya menjadi pegawai di MOT 10 tahun lalu, ia hanya sekadar projek atas kertas, dan kini ia hampir menjadi kenyataan," katanya.

"Inilah perkara-perkara yang memberi inspirasi kepada ramai daripada kami di MOT dan LTA, kerana kami melakukan perkara-perkara yang penting buat rakyat Singapura, dan ini adalah hasil nyata usaha kami."
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita