2 kes Zika dilaporkan di Woodlands; wanita hamil digesa waspada terhadap gigitan nyamuk
Dua kes Zika disahkan di Woodlands dan wanita hamil yang berada di kawasan itu digesa mengambil langkah berjaga-jaga, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Khamis (19 Jun).
Dalam satu catatan Facebook, NEA menyatakan kes-kes tersebut dikesan di Woodlands Street 11 dan Street 32.
NEA juga menemui "tanda-tanda virus Zika yang berterusan" di kawasan perumahan tersebut selepas pemantauan air kumbahan dan nyamuk dilakukan.
Ini sekali gus menunjukkan kawasan itu berkemungkinan mengalami penularan virus Zika.
"Kami menasihati para penduduk di kawasan itu, terutama sekali wanita hamil supaya melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan memantau kesihatan mereka dengan teliti," ia menambah.
Walaupun jarang berlaku, jangkitan virus Zika dalam wanita hamil boleh menyebabkan kecacatan kelahiran seperti mikrosefali, iaitu satu kondisi di mana saiz kepala bayi jauh lebih kecil berbanding saiz yang dijangkakan untuk bayi usianya, menurut NEA.
Ia menambah mereka yang mengalami gejala menyerupai jangkitan Zika seperti sakit kepala, konjunktivitis atau sakit mata, demam, ruam, sakit sendi dan sakit otot - perlu berjumpa doktor segera.
Jangkitan virus Zika tersebar menerusi nyamuk Aedes, serupa dengan virus denggi.
Dalam makluman di lamannya, CDA menyatakan mereka yang tinggal di kawasan yang terjejas oleh Zika harus mengambil langkah berjaga-jaga terhadap gigitan nyamuk, termasuk menyapu ubat penghalau serangga yang berkesan, memakai pakaian yang melindungi sebahagian besar tubuh, dan duduk di bilik berhawa dingin atau mempunyai penghadang yang baik.
Orang ramai boleh kunjungi laman NEA untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes dan kelompok jangkitan Zika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.