2 kena denda S$300 kerana tidak patuhi jarak selamat COVID-19
Dua orang didenda S$300 pada Sabtu (11 Apr) kerana tidak mematuhi peraturan jarak selamat yang bermatlamat untuk membendung penularan virus korona COVID-19, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Dua orang didenda oleh para pegawai penguatkuasaan NEA pada 11 Apr 2020. (Gambar: Agensi Sekitaran Kebangsaan)
SINGAPURA: Dua orang didenda S$300 pada Sabtu (11 Apr) kerana tidak mematuhi peraturan jarak selamat yang bermatlamat untuk membendung penularan virus korona COVID-19, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Kedua-dua kes itu adalah antara 34 tindakan penguatkuasaan yang dikenakan oleh para pegawai penguat kuasa NEA terhadap sesiapa saja yang mengabaikan dan tidak mematuhi peraturan berkenaan di pasar dan pusat penjaja, menurut agensi tersebut.
Dalam kes pertama, seorang lelaki yang berlegar-legar dekat pasar dan pusat penjaja di Blok 341 Ang Mo Kio Avenue 1 enggan beredar daripada kawasan tersebut meskipun sudah disuruh supaya berbuat demikian dan perbuatannya itu mendorong pihak polis untuk mengambil tindakan.
Butiran peribadi mengenai lelaki tersebut turut diambil sebelum amaran bertulis dikeluarkan terhadapnya. Dia bagaimanapun kembali ke kawasan yang sama selepas para pegawai polis meninggalkan kawasan tersebut. Dia akan didenda S$300, menurut NEA.
Bagi kes kedua pula, seorang lelaki yang duduk di bangku pusat penjaja Blok 538 Bedok North Avenue 3 dinasihatkan supaya beredar daripada kawasan itu oleh para pegawai NEA yang mendapati bahawa dia berada di situ bukan untuk memesan makanan.
Selain tidak mematuhi arahan, dia juga melemparkan kata-kata kesat terhadap para pegawai sebelum membaling kerusi pada tembok di luar pusat penjaja tersebut. Polis dikerahkan ke tempat kejadian dan lelaki berkenaan didenda S$300.
Penularan COVID-19 di Singapura yang sudah meragut nyawa lapan orang sejauh ini, turut menjangkiti 2,300 orang dan ini mendorong Pemerintah untuk menguatkuasakan langkah-langkah jarak selamat seperti melarang kegiatan makan di luar dan menjaga jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara pengunjung dan pembeli-belah di pasar.
Pemerintah mengumumkan pada Sabtu bahawa mulai hari ini para pesalah jarak selamat, sekalipun ia merupakan kesalahan kali pertama, tetap akan didenda S$300 dan bukan lagi amaran bertulis.
Pada Sabtu, sekitar 320 pegawai penguat kuasa NEA dikerahkan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap langkah-langkah jarak selamat yang lebih ketat di pasar dan juga pusat penjaja di merata Singapura.
Para pegawai NEA itu turut disokong oleh lebih 200 Duta SG Clean.
Menurut NEA, sekitar 90 peratus pelanggan dan penjaja serta pegerai di pasar-pasar merata Singapura didapati memakai pelitup semasa pemeriksaan dijalankan semalam.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.