Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 kematian di tempat kerja minggu lalu termasuk pekerja 69 tahun jatuh ketika bersihkan tingkap

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua lagi kematian di tempat kerja berlaku minggu lalu termasuk satu insiden melibatkan pekerja 69 tahun yang jatuh ketika membersihkan tingkap.

Dalam satu kenyataan pada Selasa (29 Nov), Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan dua insiden itu berlaku pada Jumaat dan Sabtu minggu lalu. Ini membawa jumlah keseluruhan berkait kematian di tempat kerja kepada 42 tahun ini.

Insiden melibatkan individu 69 tahun itu berlaku pada 26 November sekitar pukul 6.00 petang.

Pekerja tersebut, warga Singapura berusia 69 tahun yang diupah oleh Home Cleanz Cleaning and Laundry Services, sedang menjalankan khidmat pembersihan di sebuah unit kosong di 99 Cairnhill Circle, Hilltops Condominium.

"Dia sedang membersihkan bahagian luar tingkap apabila dia jatuh dari ketinggian sekitar sembilan meter dan terjatuh ke bawah," menurut MOM, sambil menambah bahawa pekerja itu tidak memakai alat keselamatan bagi pekerjaan di tempat tinggi.

Lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik, menurut MOM.

Kementerian itu mengarahkan majikan syarikat tersebut supaya menghentikan semua aktiviti melibatkan pekerjaan di tempat tinggi dan sedang menyiasat kemalangan tersebut.

Satu lagi kematian berlaku pada 25 November sekitar pukul 11.00 pagi dan melibatkan seorang warga India berusia 41 tahun di Jurong Island ketika dia terjatuh ke dalam laut.

MOM menyatakan mayat lelaki itu ditemui pada hari yang sama.

Kementerian itu mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada majikan terbabit supaya menghentikan kerja perancah di kawasan jeti dan sedang menyiasat kemalangan tersebut.

Untuk menangani isu kematian di tempat kerja, MOM memperkenalkan tempoh "keselamatan dipertingkat " yang bermula dari 1 September hingga 28 Februari tahun depan.

Semasa tempoh ini, syarikat-syarikat boleh dihalang daripada mengambil pekerja asing sehingga tiga bulan jika didapati melakukan pelanggaran keselamatan dan kesihatan tempat kerja selepas berlakunya kemalangan serius atau berlakunya kematian di tempat kerja.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan