2 kelompok baru COVID-19 dikesan di S'pura
Jumlah pesakit COVID-19 yang kritikal melonjak seganda pada Ahad (8 Ogos) daripada sehari sebelumnya kepada lapan, manakala 37 orang memerlukan bantuan oksigen.

(Gambar fail: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)
SINGAPURA: Singapura melaporkan 73 jangkitan baru tempatan COVID-19 pada Ahad (8 Ogos), termasuk 21 yang tidak berhubung kait dengan kes-kes terdahulu.
Sebanyak 43 jangkitan yang berhubung kait dengan kes sebelumnya sudahpun dikuarantin dan lagi sembilan dikesan melalui ujian pengawasan, dedah Kementerian Kesihatan (MOH).
Antara kes baru COVID-19 termasuk lima warga senja berusia lebih 70 tahun yang belum divaksinasi atau belum selesai menerima vaksin dan berisiko mengalami penyakit serius, menurut kementerian itu.
Terdapat juga lima kes baru import, yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan semasa ketibaan. Semua kes dikesan setibanya mereka di Singapura.
Secara keseluruhan, Singapura melaporkan 78 kes baru COVID-19 pada Ahad.
DUA KELOMPOK BARU
Terdapat dua kelompok baru jangkitan COVID-19 yang dikenal pasti pada Ahad, dengan masing-masing mempunyai tiga kes. MOH bagaimanapun tidak memberikan maklumat mengenai kelompok-kelompok baru itu, yang terkait dengan dua individu.
Lagi empat kes dikaitkan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar & Pusat Penjaja Hong Lim, menjadikannya kini sebanyak 1,147 kes. Ia kekal sebagai kelompok aktif terbesar di Singapura.
Lima kes juga ditambah kepada kelompok jangkitan di CHIJ Katong Convent, menjadikan jumlahnya lapan kes.
Terdapat 130 kelompok aktif COVID-19 di Singapura setakat Ahad.
LAPAN DALAM KEADAAN KRITIKAL
Terdapat 542 pesakit COVID-19 di hospital setakat Ahad.
Sebahagian besar pesakit sedang beransur pulih dan di bawa pemantauan, Namun terdapat 37 kes penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen dan lapan dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).
Daripada 45 kes tersebut, enam daripada mereka sudah selesai divaksinasi. Antara mereka, empat memerlukan bantuan oksigen, sementara dua memerlukan rawatan ICU kerana mengalami penyakit-penyakit lain.
Seramai 34 orang berusia 60 tahun dan ke atas, di mana 29 daripada mereka belum divaksinasi atau belum selesai mendapatkan suntikan, mengalami sakit teruk, jelas MOH.
"Terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi membantu mencegah penyakit serius jika seseorang dijangkiti," tambah Kementerian Kesihatan.
Sepanjang 28 hari lalu, 95 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia. Daripada jumlah itu, 59 belum divaksinasi, 27 belum selesai divaksinasi dan sembilan sudah lengkap divaksinasi.
Setakat Sabtu (7 Ogos), 69 peratus penduduk Singapura sudah selesai mengikuti rejimen penuh vaksinasi atau menerima dua dos vaksin di bawah program vaksinasi nasional. Kira-kira 79 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Dalam pada itu, 130,952 dos vaksin Sinovac sudah diagihkan setakat Sabtu, meliputi 81,612 orang.
Sehingga Ahad, Singapura melaporkan 65,764 kes COVID-19 dengan 42 kematian akibat penyakit itu.
LANGKAH-LANGKAH BERBEZA BERDASARKAN STATUS VAKSINASI
Singapura akan melonggarkan sekatan-sekatan COVID-19 dalam dua tahap pada 10 Ogos dan 19 Ogos.
Pada tahap pertama, menjamu selera di cawangan-cawangan F&B akan dibenarkan lagi dalam kumpulan sehingga lima orang semeja bagi mereka yang sudah lengkap divaksinasi. Mereka yang sudah lengkap divaksinasi dan yang belum divaksinasi boleh makan di pusat penjaja dan kedai kopi, namun dihadkan kepada hanya dua orang sekumpulan.
Mereka yang sudah lengkap divaksinasi dan yang belum divaksinasi juga akan dibenarkan berkumpul dalam kumpulan sehingga lima orang dan menerima lima pelawat yang berbeza di rumah setiap hari - dihadkan kepada dua perhimpunan sosial sehari.
Sekalipun demikian, orang yang belum divaksinasi perlu kekal dalam kumpulan yang tidak lebih daripada dua orang "untuk mengurangkan kemungkinan penularan dan jangkitan yang teruk", menurut MOH dalam pengumumannya pada Jumaat.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.