Skip to main content

Singapura

2 kelompok baru COVID-19 dikesan di CGH dan Henderson Crescent

Satu lagi kelompok baru COVID-19 dikenal pasti di 105 Henderson Crescent, ekoran enam kes positif di blok itu. Semua jangkitan mereka dikesan menerusi ujian pemantauan masyarakat bagi penduduk blok itu.

Anggaran Waktu Membaca:
2 kelompok baru COVID-19 dikesan di CGH dan Henderson Crescent

Gambar fail CGH (Gambar: Facebook/Hospital Besar Changi)

Diterbitkan : 25 Jun 2021 11:54PM Dikemas Kini : 25 Jun 2021 11:58PM

SINGAPURA: Satu lagi kelompok baru COVID-19 dikenal pasti di 105 Henderson Crescent, ekoran enam kes positif di blok itu. Semua jangkitan mereka dikesan menerusi ujian pemantauan masyarakat bagi penduduk blok itu.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media malam ini (25 Jun).

Enam kes tersebut adalah:

  • seorang pesara wanita berusia 70 tahun
  • seorang eksekutif kewangan di ST Engineering berusia 40 tahun
  • seorang pakar penyengaraan berusia 45 tahun di Air Liquide
  • seorang penghantar makanan sambilan bersama Grab dan foodpanda berusia 32 tahun
  • seorang pengurus operasi berusia 32 tahun di Green Mart SG
  • seorang pengurus di Meinhardt Group berusia 45 tahun.

Kesemuanya terdapat 10 kes di kelompok 105 Henderson Crescent, dengan kes paling awal disahkan pada 17 Jun melibatkan seorang pesara berusia 67 tahun.

MOH mendedahkan demikian sedang Singapura melaporkan 15 kes baru COVID-19 dalam masyarakat setakat tengah hari Jumaat (25 Jun), termasuk tiga yang tidak terhubung kait dengan kes-kes sebelumnya.

Di kalangan 12 jangkitan dalam masyarakat yang terkait dengan kes sebelumnya, empat sudah dikuarantin dan lapan dikesan melalui ujian pemantauan, menurut MOH.

20 kes baru dilaporkan kesemuanya dengan beberapa kes dikaitkan dengan dua kelompok baru di 105 Henderson Crescent serta Hospital Besar Changi (CGH).

KELOMPOK DI CGH

Dua kes dalam masyarakat terkait dengan kelompok jangkitan baru di CGH, yang mempunyai tiga kes kesemuanya.

Kes-kes baru itu adalah dua lelaki warga Singapura, berusia 67 dan 72 tahun, yang bekerja sebagai porter di hospital itu. Kedua-dua jangkitan mereka dikesan menerusi pengujian pemantauan hospital.

Kedua-dua mereka adalah kontak tempat kerja Kes 64413, seorang porter berusia 35 tahun di hospital tersebut yang jangkitannya disahkan pada 23 Jun.

Lelaki 72 tahun itu yang sudah melengkapi rejim vaksinnya, menunjukkan gejala pada 16 Jun namun tidak mendapatkan rawatan perubatan. Lelaki 62 tahun berkenaan pula tidak bergejala dan sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19.

KES TANPA KAITAN

Salah satu daripada kes yang tidak terhubung kait dalam masyarakat adalah seorang lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai spesialis peralatan di Hospital Besar Singapura (SGH).

Dia mula mengalami gejala pada 23 Jun dan mendapatkan rawatan perubatan di tempat kerjanya pada keesokan harinya, di mana dia diuji positif. Lelaki tersebut sudah divaksinasi sepenuhnya.

Satu lagi kes tidak berhubung kait melibatkan seorang lelaki berusia 31 yang digajikan Fourways sebagai pekerja pembersihan di Prince George's Park Residence, Universiti Nasional Singapura (NUH). Dia juga sudah selesai menjalani rejim vaksin.

Dia mengalami gejala demam pada 22 Jun dan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik keesokan harinya. Hasil ujian ARTnya negatif, namun ujian reaksi rantaian polymerase (PCR) disahkan positif pada 24 Jun.

Kes tidak terkait yang terakhir adalah pesara berusia 84 tahun. Wanita itu mula batuk pada 16 Jun tetapi tidak mendapatkan rawatan perubatan.

Jangkitannya dikesan apabila dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) pada 24 Jun akibat keadaan yang berasingan.

PENGAMBILAN KIT UJIAN DIRI

Dari 26 Jun hingga 27 Jun, penduduk blok tertentu di kawasan Bukit Merah / Redhill boleh mengambil kit ujian antigen pantas (ART) di pusat jawatankuasa penduduk berhampiran mereka.

MOH tidak mendedahkan blok mana yang turut serta dan meminta para penduduk untuk memeriksa secara online bagi kelayakan masing-masing.

Ini adalah lapisan pengasingan tambahan untuk membantu mengenal pasti kes dan membendung penularan lebih lanjut di kawasan itu, jelas MOH.

Ia menambah bahawa pihaknya sedang menyiasat beberapa kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan individu yang tinggal, bekerja atau mengunjungi kawasan tersebut.

KES IMPORT

Terdapat juga lima kes import, yang kesemuanya sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura. Daripada kalangan jumlah tersebut, empat adalah warga Singapura atau penduduk tetap.

Tiada jangkitan baru yang dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.

Sehingga Jumaat, Singapura melaporkan 62,513 kes COVID-19 dengan 35 meninggal dunia.  

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita