2 kedai makan didakwa langgar peraturan COVID-19
Dua kedai makan didakwa di mahkamah pada Selasa (2 Feb) kerana melanggar peraturan COVID-19 termasuk peraturan minuman keras dan gagal memastikan kumpulan pelanggan dihadkan kepada tidak lebih daripada lima orang, yang merupakan had yang ditetapkan semasa kesalahan dilakukan.
(Gambar: Google Maps)
SINGAPURA: Dua kedai makan didakwa di mahkamah pada Selasa (2 Feb) kerana melanggar peraturan COVID-19 termasuk peraturan minuman keras dan gagal memastikan kumpulan pelanggan dihadkan kepada tidak lebih daripada lima orang, yang merupakan had yang ditetapkan semasa kesalahan dilakukan.
Ini adalah dakwaan pertama seumpamanya yang dikendalikan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Kim's Place Seafood Restaurant yang terletak di 45 Joo Chiat Place didakwa kerana gagal memastikan tiada sebarang perhimpunan atau kumpulan melebihi lima orang pada malam 7 Sep tahun lalu.
Kedai makan itu juga didakwa gagal memastikan kumpulan pelanggannya tidak bergaul antara satu sama lain.
Pada malam yang sama, kedai makan itu dipercayai membenarkan persembahan muzik atau nyanyian dijalankan dan gagal mengambil langkah bagi mengurangkan pergaulan antara para pelanggan atau pengunjung.
Restoran itu juga dituduh mengulangi perbuatan itu - termasuk pergaulan antara kumpulan dan membenarkan persembahan diadakan - pada 12 Sep 2020.
The Singapore Straits Wine Company juga didakwa mengadakan jamuan malam di Kim's Place Seafood pada 7 Sep 2020 bersama 26 pekerjanya.
Sebuah lagi kedai makan yang turut didakwa ialah Invincible (BBCM) di 13 Circular Road, yang URA menyatakan dalam satu kenyataan sebelum ini bahawa ia juga dikenali sebagai Bedok Bak Chor Mee. Ia dikenakan lima tuduhan berkaitan beberapa kejadian yang berlaku pada 2 Okt tahun lalu.
Ia dituduh gagal memastikan setiap kumpulan pelanggan terdiri daripada lima individu atau kurang daripada jumlah itu, dengan jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara setiap kumpulan pada 2 Okt tahun lalu.
Kedai makan itu juga didakwa gagal melaksanakan peraturan SafeEntry bagi para pelanggan dan pengunjung dan tidak memeriksa suhu badan para pelanggan atau memeriksa sebarang gejala yang ketara.
Kedai itu juga dituduh gagal memastikan setiap meja ditempatkan pada jarak sekurang-kurangnya satu meter daripada sebarang kerusi yang diletakkan di meja yang lain pada setiap masa, dan gagal memastikan peminuman arak dihentikan selepas pukul 10.30 malam.
Dalam kenyataannya sebelum ini, URA menyatakan bahawa ia memfailkan dakwaan terhadap Invincible (BBCM) dan mengarahkan premisnya ditutup selama 10 hari pada Oktober tahun lalu.
Para wakil dari syarikat-syarikat berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah pada satu tarikh yang bakal ditetapkan. Hukuman bagi kesalahan melanggar peraturan COVID-19 adalah denda maksimum sehingga S$10,000 atau hukuman penjara sehingga enam bulan. Bagi kesalahan seterusnya, tempoh hukuman penjara dan denda akan dinaikkan seganda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.