2 kawasan pantai Taman East Coast dibuka semula
(Gambar: CNA/Wallace Woon)
SINGAPURA: Dua kawasan pantai di Taman East Coast akan dibuka semula kepada orang awam pada Isnin (22 Jul) selepas berlaku tumpahan minyak bulan lalu.
Kerja-kerja pembersihan di kawasan B dan E Taman East Coast sudah selesai dan penghadang sudah ditanggalkan. Kawasan C, D, F, G dan H masih ditutup.
"Sukan air tidak berkontak seperti kayak, yang dijalankan di kedua-dua kawasan (B dan E) boleh disambung semula," umum Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam makluman media pada Isnin.
"Walaupun ia selamat untuk menjalankan aktiviti di pantai, orang awam dinasihatkan untuk tidak berenang atau menjalankan sukan air berkontak seperti papan luncur air (wakeboarding) dan dayung berdiri (stand-up paddling) di perairan pantai."
Agensi tersebut menyatakan ia terus mengawasi mutu air laut dan aktiviti air hanya dapat disambung semula sebaik sahaja mutu air kembali seperti biasa.
Minggu lalu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu berkata operasi membersihkan tumpahan minyak berada di fasa terakhir selepas ia mencapai kemajuan lebih pantas dari jangkaan.
Fasa seterusnya bertujuan untuk membersihkan minyak dari kawasan yang sukar dibersihkan seperti bongkah batu, pemecah ombak dan minyak yang terperangkap di bahagian pasir yang lebih dalam.
Fasa terakhir akan menyaksikan pantai-pantai tersebut diperiksa untuk menghapuskan "bola tar", iaitu longgokan minyak kecil yang telah mengeras dan bercampur dengan pasir. Saiznya dari sekecil kerikil hingga sebesar penumbuk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.