Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 kanak-kanak dilarang bawa poster masuk Stadium Negara kerana saiznya dipercayai terlalu besar

Anggaran Waktu Membaca:
2 kanak-kanak dilarang bawa poster masuk Stadium Negara  kerana saiznya dipercayai terlalu besar

Seorang peminat wanita (kiri) membawa sekeping poster yang serupa saiznya untuk menyokong kapten pasukan Korea Selatan dan bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min. Manakala, poster itu (kanan) adalah untuk menyokong pasukan negara. (Photos: Instagram/TMSG)

SINGAPURA: Dua kanak-kanak tidak dibenarkan untuk membawa masuk poster ke dalam Stadium Negara oleh para kakitangan keselamatan pada Khamis (6 Jun). Insiden itu berlaku semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA yang menyaksikan Korea Selatan mengalahkan pasukan Singapura 7-0.
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, Kallang Alive Sport Management (KASM), yang menguruskan Hab Sukan Singapura dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), menyatakan bahawa poster yang dibawa oleh kanak-kanak itu lebih besar daripada saiz kertas A3 yang dibenarkan.

Lantaran itu, ia tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Menurut KASM dan FAS, peraturan sedia ada tidak membenarkan papan tanda atau poster yang bersaiz lebih besar daripada A3 kerana poster besar boleh menghalang pemandangan para penyokong lain yang duduk di belakang.

KASM dan FAS juga menyatakan bahawa para penonton telah dimaklumkan tentang syarat-syarat yang ditetapkan sebelum hari perlawanan menerusi panduan online dan kiriman emel kepada semua pemegang tiket.

Syarat-syarat yang ditetapkan itu juga dikuatkuasakan bagi semua perlawanan bola sepak yang diadakan di Stadium Negara bagi memastikan pengalaman yang positif dan selamat untuk semua penonton.

"Ini termasuk senarai barangan yang tidak dibenarkan di dalam stadium bagi semua perlawanan bola sepak. Syarat-syarat ini berlandaskan rujukan daripada garis panduan antarabangsa yang ditetapkan FIFA (badan pentadbir bola sepak dunia) dan dijadikan sebagai tanda aras stadium di peringkat antarabangsa," menurut KASM dan FAS.

"Hab Sukan Singapura dan FAS bersatu dalam matlamat untuk berkhidmat dan memberi pengalaman yang selamat, tidak dapat dilupakan dan seronok bagi semua peminat dan penyokong bola sepak di Stadium Negara."

Saluran sukan tempatan The Monitor yang melaporkan insiden itu pada Jumaat menyatakan bapa kanak-kanak tersebut, yang tidak dinamakan, berasa tidak puas hati kerana "pengawal keselamatan stadium membuat kami membuangnya di pintu masuk", dan membidas bagaimana perbuatan itu "merosakkan suasana bola sepak Singapura".

Dia menambah bahawa insiden tersebut meninggalkan kesan yang kurang positif memandangkan "anak-anaknya sedang menonton aksi pasukan negara di Hab Sukan untuk pertama kalinya" dan mereka "sebaliknya menangis".

The Monitor juga mempersoalkan mengapa seorang penyokong wanita boleh membawa sekeping poster yang serupa saiznya untuk menyokong kapten pasukan Korea Selatan dan bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min, menerusi catatan Instagramnya.

KASM dan FAS menjelaskan kepada Mediacorp bahawa "pihaknya sedia maklum bahawa pemeriksaan sedemikian tidak selalunya 100 peratus tepat, khususnya, apabila poster sedemikian dilipat dan dibawa ke stadium dalam beg."

"Ini mungkin berlaku bagi peminat Korea itu. Kami akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan kami dan berusaha untuk melakukan yang lebih baik," tambah KASM dan FAS.

KANAK-KANAK BOLEH BERTEMU DENGAN PASUKAN SINGA SECARA BERSEMUKA

Berhubung dua kanak-kanak rakyat Singapura itu, KASM dan FAS mengatakan bahawa "pihaknya tersentuh dengan keghairahan mereka".

"Dengan membuat poster untuk menyuntik semangat kepada pemain-pemain kami, mereka sememangnya mencerminkan semangat anak-anak muda Singapura yang menyokong atlit kita tanpa mengira prestasi mereka," tambah KASM dan FAS.

"Kami menghargai sokongan ini dan ingin mengundang mereka untuk menghubungi kami supaya kami boleh mengaturkan pengalaman istimewa untuk mereka bertemu pasukan Singa secara bertemu muka."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan