2 kakitangan pusat warga emas didenda selepas mangsa berkerusi roda terjatuh dari platform dan meninggal dunia
Sekeping gambar, yang diambil daripada kertas mahkamah, menunjukkan lif tersebut, yang digunakan untuk membantu warga emas menaiki van tersebut.
SINGAPURA: Dua kakitangan syarikat yang menyediakan khidmat jagaan warga emas didenda S$10,000 setiap satu kerana perbuatan cuai yang menyebabkan kematian seorang warga emas.
Moe Thadar, 49 tahun, seorang pembantu jagaan kesihatan dari Myanmar manakala Kwa Kim Seng, 67 tahun pula, pemandu warga Singapura.
Mahkamah diberitahu bahawa kedua-duanya bekerja di syarikat Active Global Home & Community Care Singapore.
Dalam kejadian yang berlaku pada 3 Februari 2021, kedua-dua individu itu sedang membantu beberapa warga emas menaiki van di tempat pengambilan pusat jagaan warga emas yang terletak dekat Blok 31A Ghim Moh Link, untuk menghantar mereka pulang.
Mangsa, Encik Hassan Mohamed Karchi Arsan Osman, yang berusia 76 tahun, merupakan individu kedua untuk menaiki van tersebut.
Semasa membawa naik kerusi roda Encik Hassan ke dalam van, kedua-dua kakitangan itu gagal memastikan bahawa rodanya telah dikunci.
Akibatnya, kerusi roda itu bergerak ketika ia berada di tanjakan yang digunakan untuk membawa masuk kerusi roda ke dalam van.
Encik Hassan terjatuh daripada kerusi roda itu lalu kepalanya terhentak di lantai.
Beliau dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.
Menurut prosedur operasi standard (SOP) Active Global, yang telah diajar kepada kedua-dua pesalah, pembantu penjagaan kesihatan bertanggungjawab untuk mengunci kedua-dua roda kerusi roda pelanggan sebelum lif diaktifkan.
Siasatan mendedahkan bahawa SOP secara rutin tidak dipatuhi oleh kakitangan Active Global, kata Timbalan Pendakwa Raya Jeremy Bin.
Atas kesalahan menyebabkan kematian akibat kelakuan cuai yang tidak membawa kepada pembunuhan dengan niat, seorang pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.