Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 kakitangan Kedutaan SG di Yangon selamat susuli serangan ke atas konvoi kemanusiaan ASEAN: MFA

Anggaran Waktu Membaca:
2 kakitangan Kedutaan SG di Yangon selamat susuli serangan ke atas konvoi kemanusiaan ASEAN: MFA

Gambar: Reuters

Diterbitkan : 09 May 2023 07:47AM Dikemas Kini : 09 May 2023 11:16AM
LABUAN BAJO: Dua anggota kakitangan Kedutaan Singapura di Yangon adalah sebahagian daripada konvoi kemanusiaan ASEAN yang diserang di Myanmar pada Ahad (3 Mei).

"Mereka selamat dan sudah pulang ke Yangon," menurut seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam Isnin (8 Mei) sambil menambah bahawa insiden tersebut berlaku di timur wilayah Shan.

"Singapura mengutuk serangan ini. Ia adalah penting untuk memelihara keselamatan kakitangan kemanusiaan dan diplomatik, dalam memastikan mereka boleh meneruskan operasi mereka dan menyediakan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang memerlukan."

Agensi berita Associated Press (AP) memetik seorang ahli militia etnik minoriti sebagai berkata bahawa serangan berkenaan berlaku di bandar Hsi Hseng di wilayah Shan, kira-kira 128 kilometer dari timur laut ibu kota Myanmar, Naypyitaw.

AP turut menarik perhatian bahawa televisyen negara MRTV melaporkan sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan dengan pasukan keselamatan yang mengiringi konvoi tersebut berbalas tembakan.

Sebuah kenderaan keselamatan mengalami kerosakan, tetapi tiada kecederaan dilaporkan dalam konvoi tersebut termasuk pegawai serta kakitangan ASEAN dari kedutaan Indonesia dan Singapura, tambah laporan MRTV itu.

Laporan media tempatan lain menjelaskan mereka yang berada di dalam konvoi tersebut sedang berangkat untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa kumpulan bagi menyediakan bantuan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal di negara yang bergolak itu. Perjalanan tersebut sebaliknya, dibatalkan berikutan insiden tersebut.

Kenyataan MFA, yang tidak memberikan butiran serangan tersebut, dikeluarkan tidak lama selepas Presiden Indonesia Joko Widodo bercakap kepada pemberita mengenai insiden 'tembakan' yang meletus ketika pegawai dari Pusat Penyelaras ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana dan pasukan pemantau ASEAN sedang dalam perjalanan untuk menghantar bantuan kemanusiaan.

Pemimpin Indonesia tersebut, yang juga dikenali sebagai Jokowi itu berkata demikian di Labuan Bajo di timur Indonesia menjelang Sidang Puncak ASEAN minggu ini.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai insiden berkenaan, tetapi menegaskan bahawa ia tidak akan menjejaskan ketetapan ASEAN atau Indonesia dalam menegakkan keamanan di Myanmar.

"Henti gunakan kekerasan. Hentikan keganasan. Kerana rakyat yang akan menjadi mangsa kerana keadaan ini tidak membuat sesiapa pun menang,” kata Presiden Jokowi.

"Saya menggesa semua orang untuk duduk bersama, wujudkan ruang untuk berdialog dan mencari penyelesaian bersama."

Masih tidak jelas siapa di sebalik serangan berkenaan.

Pada Isnin, MFA menyatakan Singapura menggesa agar semua pihak mengelak daripada melakukan keganasan, selaras dengan Konsensus Lima Perkara.

MFAmenambah bahawa "hanya dialog yang membina dalam kalangan semua pihak berkepentingan utama, boleh memudahkan penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar."
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan