2 inisiatif baucar untuk masyarakat di bawah program Tampines SG60 Cares
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli (kiri) di satu acara masyarakat di Hab Tampines Kita (OTH) pada Sabtu (15 Mac), di mana beliau mengumumkan beberapa inisiatif yang bertujuan untuk meringankan kos sara hidup para penduduk. Dinamakan 'Tampines SG60 Cares', inisiatif tersebut merangkumi kredit Shopee bernilai S$60 bagi penduduk Tampines yang memegang kad CHAS Biru. (Gambar: Mediacorp)
Ia merupakan program yang bertujuan memperkukuh semangat kasih sayang dan baik budi dalam kalangan masyarakat di Tampines.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli menerusi catatan di Facebook beliau pada Ahad (16 Mac) berkongsi dua inisiatif di bawah program tersebut.
Inisiatif kedua, Baucar Tampines SG60. Isi rumah pemegang Kad CHAS Biru dan Jingga boleh membeli baucar OTH bernilai S$60 pada harga S$50, dengan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) timur laut menokok baki S$10.
Baucar-baucar itu boleh diperolehi di semua lima kelab masyarakat di GRC Tampines bermula Isnin (24 Mac).
Menurut Encik Masagos, inisiatif-inisiatif ini membantu para penduduk menguruskan perbelanjaan mereka, memberikan lebih daripada sekadar bantuan kewangan, tetapi juga menjaga maruah, memberikan pilihan, dan memastikan akses kepada keperluan mereka.
"Saya berterima kasih kerana disebabkan syarikat-syarikat kita mencatat prestasi baik dan terdapat lebihan dalam kutipan Cukai Korporat tahun lalu, PM (Perdana Menteri Lawrence Wong) membolehkan kita untuk meraikan SG60 dengan baucar bagi setiap rakyat Singapura, di samping langkah-langkah sokongan nasional seperti baucar CDC untuk membantu dari segi kos sara hidup," kata Encik Masagos.
Beliau turut menekankan bahawa di Tampines, sokongan yang diberikan menjangkaui bantuan pemerintah.
"Ia tentang jiran tetangga yang saling membantu - dari peti sejuk masyarakat demi memastikan tiada orang kelaparan hingga derma Baju Kurung pada Hari Raya," ujar beliau.
Menurut Encik Masagos, perniagaan-perniagaan tempatan juga tampil dengan inisiatif-inisiatif seperti Projek 100=50, pengagihan berkala baucar NTUC, dan derma buku bagi keluarga-keluarga memerlukan.
"Rakan-rakan korporat kita memainkan peranan penting dalam ekosistem saling menjaga satu sama lain ini. Dengan Yayasan DBS, kami melancarkan Pasar Masyarakat Bergerak, yang menyediakan barangan dapur penting untuk keluarga-keluarga yang memegang Kad CHAS Biru dan Jingga," kata beliau.
NEO KAH KIAT INSPIRASI MASYARAKAT
Encik Masagos turut memetik contoh individu-individu seperti Encik Neo Kah Kiat dari Neo Group yang terus memberi inspirasi kepada masyarakat menerusi dedikasinya kepada seni inklusif, sekali gus memperkaya kehidupan masyarakat.
Encik Neo Kah Kiat merupakan pengasas syarikat katering Neo Group.
Beliau juga mewujudkan Anugerah Seni Neo Kah Kiat, dengan kerjasama CDC Timur Laut, yang dilancarkan pada Oktober 2024 untuk memperkasa golongan kurang upaya menerusi seni dan menggalak mereka menyerlahkan bakat dan minat dalam bidang seni.
Anugerah itu dibiayai oleh Neo Group dengan komitmen menyuntik dana S$1 juta bagi tempoh lima tahun. Separuh dana itu diperuntukan untuk anugerah tersebut manakala bakinya bagi acara tahunan, Shaping Hearts.
"Setiap perbuatan baik membawa kita lebih dekat kepada Tampines, di mana tiada orang yang akan ketinggalan. Ayuh kita teruskan asas ini, menjadikan bandar kita sebagai model kemesraan, sakih sayang dan harapan bagi masa depan - bersama-sama," kata Encik Masagos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.