Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 individu dinobat Pereka Terbaik, 9 projek menang Anugerah Presiden bagi Reka Bentuk Terbaik

Kampus Mediacorp dan Terminal 4 Lapangan Terbang Changi adalah antara sembilan projek yang menerima Anugerah Presiden bagi Reka Bentuk Terbaik untuk tahun 2018.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kampus Mediacorp dan Terminal 4 Lapangan Terbang Changi adalah antara sembilan projek yang menerima Anugerah Presiden bagi Reka Bentuk Terbaik untuk tahun 2018.

Anugerah itu, yang disampaikan oleh Presiden Halimah Yacob di Istana pada malam Selasa (17 Jul), merupakan yang paling berprestij bagi bidang reka bentuk yang dikeluarkan negara ini.

Menurut para juri, Kampus Mediacorp, yang dibina oleh Maki & Associates dan DP Architects Pte Ltd, dianggap sebagai antara yang terbaik kerana kemahiran yang diterapkan dalam menyusun ruang sehingga menjadi "bandar media vertikal yang koheren".

Para juri juga kagum kerana kampus yang besar itu, yang memerlukan ciri-ciri keselamatan yang ketat, dapat dibina di tapak yang berbentuk segi tiga yang memanjang. Ia juga dengan bijak mewujudkan ruang untuk perhimpunan tidak formal.

Ketua Pegawai Eksekutif DP Architects, Angelene Chan, turut dipilih sebagai Pereka Terbaik 2018 kerana kerja-kerjanya dalam bidang seni bina.

Seorang lagi penerima Anugerah Pereka Terbaik 2018 adalah Pengasas Hans Tan Studio, Hans Tan, atas karya-karyanya dalam bidang reka bentuk produk dan industri.

MENINGKATKAN PENGALAMAN PENJAGA PESAKIT DI S'PURA

Salah satu projek yang turut menerima Anugerah Reka Bentuk Presiden bagi Reka Bentuk Terbaik 2018 adalah projek 'Siapa Peduli? Merubah Pengalaman Jagaan di Singapura'.

Projek itu adalah kerjasama antara syarikat fuelfor dengan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).

Project 'Who Cares?' atau siapa peduli (Gambar: fuelfor)

Dengan menggunakan pengalaman para penjaga, sebuah set peralatan bagi pakar-pakar jagaan sosial, buku rujukan serta tujuh video yang mengisahkan emosi yang mungkin dialami para penjaga telah dihasilkan.

Menurut salah seorang ketua pereka bentuk dari syarikat fuelfor, Cik Lekshmy Parameswaran, rekaan itu boleh diterapkan ke dalam program-program sedia ada seperti sesi perkongsian atau bengkel-bengkel untuk para penjaga pesakit bagi meningkatkan lagi keberkesanannya.

Kit peralatan itu, yang ditampilkan dalam Pelan Induk Pengupayaan Singapura 2017-2021, diilhamkan daripada pengalaman 10 penjaga.

Salah seorang daripadanya ialah Cik Noraisah Mohd Mizah, yang mempunyai seorang anak lelaki yang mengalami masalah perkembangan mental.

“Buku ‘We Care’ ini dapat dijadikan sebagai bahan rujukan untuk para penjaga. Di dalam buku itu, ada banyak tips dan panduan yang boleh digunakan untuk mereka menjaga ibu bapa mereka ataupun anak-anak mereka yang istimewa ataupun ahli-ahli keluarga yang memerlukan penjagaan,” kata Cik Noraisah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa