Skip to main content

Singapura

2 individu cemerlang terima Biasiswa Lee Kuan Yew

Dua individu cemerlang yang menunjukkan iltizam menyumbang kepada masyarakat tempatan, menerima Biasiswa Lee Kuan Yew pada Selasa (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
2 individu cemerlang terima Biasiswa Lee Kuan Yew

Cik Lim Li Ping (kiri) dan Dr Hamid Rahmatullah penerima Biasiswa Lee Kuan Yew 2019. (Gambar: Divisyen Perkhidmatan Awam)

Diterbitkan : 05 Jun 2019 03:00AM Dikemas Kini : 05 Jun 2019 03:06AM

SINGAPURA: Dua individu cemerlang yang menunjukkan iltizam menyumbang kepada masyarakat tempatan, menerima Biasiswa Lee Kuan Yew pada Selasa (4 Jun).

Salah seorang penerima biasiswa berprestij itu ialah seorang doktor pakar bedah ortopedik, Dr Hamid Rahmatullah Abd Razak, 34 tahun.

Kecemerlangannya dalam bidang yang diceburi, dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membantu golongan terpinggir di Singapura. Misalnya, Dr Hamid melakukan kerja-kerja sukarelawan dengan HealthServe, sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan.

Pertubuhan itu menawarkan khidmat perubatan bersubsidi kepada para pekerja asing yang gagal mendapatkan bantuan daripada majikan masing-masing.

Dr Hamid juga giat berbakti dengan pertubuhan Karyawan India Muslim (IM.PROF) yang ditubuhkannya bersama rakan-rakan lain pada 2015. Pertubuhan tersebut bermatlamat membantu golongan belia menerusi program-program di mana mereka boleh mendakapi kemahiran-kemahiran yang penting bagi masa depan lebih cerah.

Bukan itu sahaja, doktor lulusan Universiti Nasional Singapura ini juga giat menganjurkan forum-forum untuk membincangkan tentang topik-topik dan isu semasa seperti mata wang kripto dan mobiliti sosial, di samping menganggotai Jawatankuasa Penuaan Aktif (AAC) dan Jawatankuasa Perunding Rakyat (CCC) Kawasan Undi Taman Jurong serta Jawatankuasa Kecil SINDA.

Atas sumbangan-sumbangan inilah, Dr Hamid menerima biasiswa berprestij yang akan membantunya melanjutkan pengajian.

Dr Hamid merancang untuk meneruskan pengajian pada peringkat sarjana dalam bidang Biomekanik Ortopedik di Imperial College London di Britain.

Seorang lagi penerima Biasiswa Lee Kuan Yew tahun ini adalah Cik Lim Li Ping. Beliau diiktiraf atas sumbangannya untuk mempertingkat perhubungan dalam sektor jagaan kesihatan menerusi rangkaian 'ESTHER Network' yang ditubuhkannya sendiri.

Cik Lim, seorang pakar dalam bidang perubatan sosial, akan melanjutkan pengajian di Universiti Jönköping di Sweden dalam bidang Kesihatan dan Sains Masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita