Skip to main content

Singapura

2 ibu Melayu antara penerima Anugerah Pengasuh Teladan Kelab Rainbow 2019

Membesarkan anak bukan mudah dan banyak cabarannya, apatah lagi kalau anak tersebut didiagnos ada berpenyakit.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Membesarkan anak bukan mudah dan banyak cabarannya, apatah lagi kalau anak tersebut didiagnos ada berpenyakit.

Namun, bagi Cik Noor Rohyati Ahmad, 50 tahun dan Cik Sharifah Shahariyah Said Hassan Alsagoff, 43 tahun, mereka tidak pernah kenal erti jemu dan putus asa.

Bahkan, kerap berikhtiar dengan menghadiri pelbagai kursus-kursus, mendapatkan nasihat pakar dan membuat kajian sendiri di internet.

Itu semua dilakukan demi anak-anak istimewa mereka.

Oleh kerana sikap mereka yang luar biasa itu, kedua-duanya terpilih sebagai penerima Anugerah Pengasuh Teladan anjuran Kelab Rainbow di Taman Haiwan Singapura pada Sabtu (14 Sep).

Antara lain, anugerah itu mengiktiraf mereka yang menunjukkan kesungguhan dan berdaya sumber dalam penjagaan dan menaiktarafkan mutu kehidupan orang di bawah jagaan mereka.

KORBAN KERJAYA DEMI JAGA ANAK SAUDARA BERPENYAKIT KRONIK

Dilahirkan dengan penyakit sindrom usus pendek (Short Bowel Syndrome), Errinayuni Alias atau nama timangannya Yuni, pernah bertarung nyawa untuk hidup.

Related article image

(Gambar: BERITAmediacorp)

Dek ibu bapanya yang tidak berupaya menjaga beliau, Yuni nyaris-nyaris dihantar ke rumah rawatan. Namun, apabila diberitahu tentang nasib malang anak saudaranya itu, Cik Rohyati mengambil keputusan untuk menjadi penjaga sah Yuni. Beliau malah menutup perniagaan kafenya yang ketika itu sedang laris.

Walaupun mempunyai dua orang cahaya mata daripada perkahwinan sebelumnya, Cik Rohyati terpaksa belajar semula menjadi ibu yang menjaga bayi istimewa itu.

Pada empat tahun pertama menjaga Yuni, Cik Rohyati terpaksa berulang-alik ke hospital kerana Yuni memerlukan penjagaan rapi di sana. Apabila Yuni dibenarkan pulang, rutin seharian Cik Rohyati bertambah sibuk kerana perlu memantau Yuni sepenuh masa.

"Bermula daripada 6.00 pagi, Yuni harus diberi ubat. Yuni menggunakan mesin 'central line' jadi mesti bersihkan diri dia dan mesin juga.

"Ubat-ubatan yang harus diberikan turut mengambil banyak masa sebab Yuni ada 8 macam ubat yang harus diberikan," kongsi Cik Rohyati yang mempunyai seorang anak perempuan dan lelaki.

Selain itu, Cik Rohyati perlu menjaga emosi Yuni yang terkadang rasa tertekan dengan lawatan kerap ke hospital.

Sungguhpun berasa penat dan kesunyian, Cik Rohyati puas kerana usaha-usahanya untuk merawat Yuni, menunjukkan peningkatan. Yuni berjaya masuk ke sekolah rendah dan kini menuntut di Darjah 1.

"Yuni dapat berbual, Yuni dapat berjalan. Yuni dapat melalui kehidupan seperti anak-anak normal. Tiada seorang pun yang akan tahu yang Yuni pernah menjalani 13 pembedahan. Yang Yuni satu ketika dulu tidak akan mampu hidup," cerita beliau.

ANAK MENJADI INSPIRASI UNTUK KUATKAN SEMANGAT

Turut cekal menghadapi dugaan dengan penuh ketabahan ialah Cik Sharifah Shahariyah.

Anaknya, Alya Insyirah Norhisham, lima tahun disahkan menghidap sejenis barah darah dipanggil 'Pre-B Acute Lymphoblastic Leukaemia' dan 'Trisomy 21', sejenis sindrom down sejak lahir.

Related article image

(Gambar: BERITAmediacorp)

Lebih mencabar lagi, ibu empat anak itu juga menjaga orang tuanya yang sakit, selain menguruskan Alya yang kerap perlu menjalani rawatan.

Apabila mengenang kembali pengalaman yang paling mencabar buat dirinya, Cik Sharifah Shahariyah berasa sayu teringatkan rawatan kemoterapi yang terpaksa dilalui anak kecilnya.

"Siapa yang suka kemoterapi kan? Kalau boleh kenapa lah dia harus kena kemoterapi?" rintih Cik Sharifah Shahariyah yang juga mempunyai seorang lagi anak dibawah naungan Kelab Rainbow.

Dalam Alya menjalani rawatan, Cik Sharifah Shahariyah tetap menghantarnya ke sekolah kerana tidak mahu anaknya ketinggalan di belakang.

Semasa di hospital, Alya turut menjalani rawatan fisioterapi bagi menguatkan otot-otot dan membantu dalam pergerakannya.

Percaya akan usahanya juga, Cik Sharifah Shahariyah juga gigih membantu anaknya di rumah.

"Saya tolong Alya senamkan dia, urut kaki dan tangannya. Lama-kelamaan, dia sudah boleh berdiri. Mula-mula dia boleh merangkak, lepas tu berdiri.

"Anak macam ini, mereka tidak akan putus asa. Jadi saya pun tidak hendak putus asa," kata Cik Sharifah Shahariyah.

Sebanyak lapan Anugerah Pengasuh Teladan dan dua Anugerah Adik-beradik Teladan disampaikan oleh Pengarah Executive Kelab Rainbow, Encik Teo Siang Loong.

Dipilih berdasarkan pencalonan, Cik Rohyati dan Cik Sharifah Shahariyah masing-masing dicalon oleh suami dan guru anak mereka.

Dianjurkan buat tahun kelima, acara itu dihadiri 1,000 orang termasuk keluarga para penerima anugerah, relawan dan kakitangan Kelab Rainbow. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita